Sorting by

×

Dewan makan sementara SSN Seri Kota perlu disegerakan

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 7 Jun – Kerajaan Negeri meminta agensi berkaitan menyegerakan pembinaan dewan makan sementara yang kondusif untuk pelajar di Sekolah Sukan Negeri (SSN) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia susulan dewan makan sedia ada sekolah berkenaan sedang dalam fasa naik taraf dengan nilai projek berjumlah RM1.7 juta.

Menurutnya, walaupun pemaju projek berkenaan telah menyediakan dewan makan terbuka sementara sebelum ini, namun ia didapati tidak menepati kriteria yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita tidak boleh menidakkan kriteria ditetapkan, kerana ini melibatkan kesihatan dan keselamatan pelajar.

“Oleh sebab itu, kita mengadakan lawatan ke sekolah dan mengadakan perbincangan bersama jabatan serta agensi terlibat untuk mempermudah urusan pembinaan dewan makan sementara ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Rahmad, hasil perbincangan itu, pihaknya memberi masa tiga minggu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka sebagai Pegawai Penguasa (SO) projek berkenaan untuk memastikan dewan makan sementara itu dapat disiapkan.

“Sepanjang tempoh tiga minggu itu, tujuh hari adalah untuk menyiapkan cadangan reka bentuk kemudian dihantar kepada KKM bagi mendapatkan kelulusan.

“Manakala baki dua minggu lagi adalah untuk pembinaan bagi memudahkan urusan pelajar dan guru-guru di sekolah itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1365
Kongsi :
Previous post Saringan kanser percuma untuk orang Melaka
Next post Keputusan SPM 2022 diumum esok
Ubah saiz-+=