
DEWAN BELIA NEGERI MELAKA BUKAN UNTUK ‘GLAMOUR’ TETAPI LAKSANAKAN AMANAH
SERI NEGERI 18 April – Dewan Belia Negeri Melaka bukan sekadar medan berhujah, sebaliknya dimanfaatkan sebagai platform untuk mengemukakan cadangan secara berhemah, membina jaringan profesional dan menyumbang kepada pembangunan orang muda.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam berkata, sehubungan itu semua Ahli Dewan Belia Negeri Melaka diminta supaya memanfaatkan peluang dan ruang diberikan kepada mereka dan menjalankan kepercayaan serta amanah diberikan dengan penuh kesungguhan.
Katanya, watikah yang diterima bukan sekadar sehelai kertas tetapi tanda kepercayaan dan amanah Kerajaan Negeri kepada mereka dalam bersama-sama membantu pembangunan Melaka.
“Saya percaya ahli dipilih adalah berdasarkan kredibiliti, pengalaman dan semangat tinggi untuk berkhidmat, ini bukan medan ‘glamour’ tetapi medan amanah, anda semua adalah rakan strategik kepada Kerajaan Negeri dalam membantu menyampaikan dasar-dasar belia.
“Anda juga digalakkan untuk memberikan input bernas dan menjadi rujukan dalam isu semasa, anda adalah duta kecil Kerajaan Negeri di dewan, media sosial dan di lapangan bersama komuniti selain kolaborasi dengan NGO, sekolah serta institusi pengajian tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Speaker dan Ahli Dewan Belia Negeri Melaka Sesi 2024/2026 di Dewan Tun Mutahir, Seri Negeri, di sini, hari ini.
Penyampaian watikah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dengan disaksikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Yang Turut hadir Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Nytheen Kunju Basheer, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri.
Pada majlis sama Ab Rauf turut menyampaikan watikah pelantikan sebagai Speaker Dewan Belia Negeri Melaka kepada Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Turut menerima watikan adalah 33 Ahli Dewan Belia Negeri Melaka melibatkan wakil semua 28 DUN dan lima ahli lantikan Ketua Menteri.
Shanmugam turut mengingatkan penerima watikah supaya menjadikan integriti sebagai asas perjuangan dan mengamalkan budaya penyelesaian dalam setiap permasalahan.
“Buktikan kemampuan anda dengan tindakan bukan sekadar laungan semata-mata. Hadiri sesi libat urus, luangkan masa, turun padang bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) masing-masing khususnya untuk menyantuni belia.
“Sebagai pemimpin saya bangga apabila melihat orang muda tampil dengan idea, prihatin, cakna dan sentiasa mendengar denyut nadi belia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.