Deskripsi tugas penjawat awam disemak semula

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

SEPANG, 23 Mac – Deskripsi tugas penjawat awam akan disemak semula bagi memastikan ia relevan dengan situasi semasa, serta dapat meningkatkan integriti dan mengurangkan punca rasuah dalam pentadbiran awam, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

“Saya setuju untuk disemak semula deskripsi tugas (penjawat awam).. jadi kita kurangkanlah punca berlakunya rasuah itu sendiri,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Mohd Shafiq berkata antara pendekatan yang difikirkan sesuai untuk mengurangkan rasuah dalam perkhidmatan awam adalah dengan penggunaan teknologi dalam menjalankan tugas penguatkuasaan.

“Di negara lain tak ada melalui penguatkuasaan secara fizikal, ia melalui teknologi. Contohnya kita lihat di sepanjang lebuh raya dan sebagainya, tidak ada polis tunggu tepi jalan dan tangkap, tapi kamera tu sendiri boleh menguatkuasakan.

“Jadi pendekatan-pendekatan inilah kita tengok boleh kita kaji bagaimana boleh mengurangkan punca rasuah itu,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan pemakaian kamera badan untuk anggota keselamatan dan penguatkuasaan bagi mencegah rasuah, Mohd Shafiq berkata perkara itu memerlukan kajian teliti terutama dari segi kos dan peraturan-peraturan yang perlu diguna pakai.

“Itu kita pergi kepada agensi-agensi penguat kuasa untuk menilai dan membentangkan sebagai satu dasar,” katanya.

Bagi pengambilan kakitangan awam dalam usaha untuk membendung rasuah, Mohd Shafiq berkata selain melalui proses temu duga, pemohon juga perlu memiliki syarat-syarat yang ditentukan dari segi fizikal, kelayakan akademik dan perwatakan.

Menurutnya, 300 daripada sejumlah 525 penjawat awam yang dituduh di mahkamah berhubung rasuah pada tahun lepas telah disabitkan kesalahan.

Mengenai persidangan hari ini, Mohd Shafiq berkata persidangan itu akan mencari pendekatan baharu bagi menyelesaikan masalah rasuah dalam pentadbiran awam kerana isu rasuah boleh merencatkan pembangunan dan memberi kemudaratan kepada kesejahteraan negara.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam ucapannya pada persidangan itu yang dibacakan Mohd Shafiq berkata Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 kini memasuki fasa akhir pelaksanaannya dan setakat ini 37 daripada 82 inisiatif yang digariskan dalam Laporan Semakan Separuh Penggal NACP telah diselesaikan di peringkat output oleh agensi peneraju.

“Ini menggambarkan komitmen oleh kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat serta petunjuk bahawa usaha pengukuhan tadbir urus, integriti dan antirasuah ini terus menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.

Persidangan dua hari yang merupakan inisiatif Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) antara lain melibatkan pembentangan penyelidikan dalam bidang-bidang berisiko seperti sektor pertahanan, perhutanan, kesihatan dan telekomunikasi.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

844
Kongsi :
Previous post Kos pengambilan pekerja domestik Indonesia ditetapkan sebanyak RM7,800
Next post Kerajaan sedia pelan perlindungan insurans akibat kematian isi rumah
Ubah saiz-+=