
DERMA DARAH IMARAH RAMADAN
PENGKALAN BATU 13 Mac – Persatuan Usahawan Automotif Negeri Melaka (PUAM) menyahut seruan kempen derma darah di bulan Ramadan ini selepas melakukannya di Pusat Pendermaan Darah Hospital Melaka, baru-baru ini.
Presidennya, Mohd Haizahry Nordin berkata, aktiviti derma darah merupakan antara sebahagian perancangan PUAM bagi mengimarahkan bulan Ramadan dengan amalan kebajikan bersama ahli PUAM serta menyumbang jasa bakti kepada masyarakat.
“Seramai 15 ahli PUAM telah menyumbang derma darah dan kami bersyukur kerana di bulan Ramadan yang mulia, kami berpeluang jalani ibadat dengan menderma darah demi kesinambungan kesihatan buat mereka yang memerlukan.
“Umum ketahui, bekalan darah perlu mencukupi serta sentiasa pada paras selamat, justeru kami di PUAM mengambil tanggungjawab ini dengan menjadi antara penyumbang kepada bekalan darah di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Program Derma Darah anjuran PUAM di Pusat Pendermaan Darah Hospital Melaka, di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Biro Kebajikan PUAM, Mohd Yazid Musa berkata, Program Derma Darah tersebut merupakan tahun kedua penganjurannya oleh PUAM dan dirancang secara bersama dengan barisan ahli persatuan tersebut.
“Ini merupakan penganjuran tahun kedua selepas kali pertama diadakan pada tahun lepas dan segala perancangan serta gerak kerja telah dijalankan secara bersama dengan barisan ahli yang lain.
“Alhamdulillah, segala perancangan program ini berjalan dengan lancar dan harapan kami adalah untuk memastikan sumbangan kepada komuniti akan dapat diperhebat dari semasa ke semasa berdasarkan kemampuan persatuan ini sendiri,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.