Denggi: 1,386 penduduk dapat notis pembersihan

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

DUYONG 27 Julai – Sebanyak 1,386 notis pembersihan diserahkan kepada pemilik rumah di Taman Seri Duyong 2 sebagai peringatan untuk membersihkan kediaman masing-masing, susulan kawasan berkenaan menjadi wabak demam denggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata menerusi notis itu penduduk diberikan tempoh sehingga 30 Julai ini dan perlu segera melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Kepada semua penduduk taman, bantu diri untuk bersihkan kawasan rumah sendiri, sejak Mei lalu sehingga kini taman ini hampir bertukar kepada kawasan bencana denggi.

“Pada 31 Julai kita akan adakan operasi besar-besaran, penduduk yang ingkar kita akan tengok jenis kesalahannya dan ia bergantung kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk penilaian selanjutnya.

“Saya minta agensi terlibat seperti SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) membantu membersihkan taman ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau yang juga Timbabalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, sekiranya penduduk berdegil dan kawasan persekitaran masih kotor sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, tindakan penguatkuasaan undang-undang bakal dikenakan.

“Apa tindakan seterusnya kita serahkan kepada KKM, kita sudah tegur dan keluarkan notis pembersihan, jika masih ingkar tindakan seterusnya adalah penguatkuasaan undang-undang.

“Pembiakan nyamuk Aedes di taman ini sudah berevolusi (berfasa), jangan selepas ini ada pula kejadian boleh meragut nyawa disebabkan kecuaian kita sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

132
Kongsi :
Previous post Lepasan SPM DUN Ayer Limau sambung pengajian dapat imbuhan
Next post IKAT tubuhkan Kursi Hang Tuah, bongkar penemuan baharu
Ubah saiz-+=