Denda RM500,000 atau penjara lima tahun jika lakukan pembakaran terbuka di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 17 Mac – Melaka menguatkuasakan perintah larangan pembakaran terbuka bermula 22 Februari lalu susulan cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini berikutan kurangnya taburan hujan sejak bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, sekiranya didapati ada pihak tidak bertanggungjawab melakukan pembakaran terbuka dalam tempoh ini mereka boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.

Menurutnya, sehingga hari ini Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka menerima 104 aduan kes pembakaran terbuka dan ia menunjukkan trend amat membimbangkan.

“Selaras pengisytiharan larangan pembakaran terbuka, semua pihak dilarang sama sekali melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis mereka dicerobohi atau dimasuki mana-mana pihak yang sengaja melakukan pembakaran terbuka.

“Pemilik ladang berskala besar yang melakukan penanaman semula juga diminta memberhentikan pembakaran kerana jika ia tidak dikawal kebakaran itu boleh merebak dengan cepat.

“Jadi, jika tidak mahu didenda atau dikompaun, kita minta sangat agar semua rakyat di negeri ini akur dengan saranan JAS bagi menjaga alam sekitar kita,” katanya dalam sidang media di Menara Persekutuan, MiTC, hari ini yang turut dihadiri Pengarah JAS Melaka Rosli Osman.

Mengulas lanjut, Abdul Ghafaar memaklumkan setakat ini pihaknya telah mengesan tiga lokasi panas yang berkemungkinan boleh berlakunya pembakaran terbuka di negeri ini.

“Ia membabitkan kawasan MARDI Kuala Linggi di Daerah Alor Gajah yang sudah 31 hari tanpa hujan, Devon Estate di Jasin (17 hari tanpa hujan) dan di Melaka Tengah membabitkan Stesen Meteorologi LT Melaka (18 hari tanpa hujan).

“Orang ramai juga diminta bekerjasama memadamkan kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM di talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

808
Kongsi :
Previous post Wanita rugi RM26,200 ditipu pembelian barang kemas dalam talian
Next post Kerajaan lancar PEMERKASA bernilai RM20 bilion, suntikan fiskal RM11 bilion
Ubah saiz-+=