Sorting by

×

Denda RM100,000 ‘menanti’ kilang degil buang sampah

Masa Membaca:2 Minit, 33 Saat

PAYA RUMPUT 24 Sept – Baharu sahaja didakwa di mahkamah dan dikenakan kompauan RM10,000, sebuah kilang industri masih berdegil membuang sisa sampah di kawasan Perindustrian Tanjung Minyak.

Pengarah SWCorp negeri, Khairul Adha Mutalib berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab kilang terbabit dikesan melalui operasi intipan dan penyamaran di tapak sampah haram berkenaan yang dikesan wujud sejak sebulan lalu.

Menurutnya, tindakan mahkamah akan diambil terhadap kilang berkenaan pada masa terdekat ini dengan kompaun lebih tinggi sehingga RM100,000 kerana masih berdegil mengulangi kesalahan sama.

SWCorp menggunakan jentera pengorek bagi membersihkan sampah haram di kawasan Perindustrian Krubong yang dikenal pasti wujud sejak lebih tiga tahun lalu.

“Tapak sampah haram dekat kawasan Industri Tanjung Minyak ini antara 58 lokasi panas yang dikenal pasti.

“Kita sasarkan sekurang-kurangnya untuk menghapuskan 50 peratus daripada jumlah itu iaitu 29 lokasi panas yang akan kita tutup pada masa terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Operasi Pelupusan Tapak Sampah haram di sekitar kawasan Industri Krubong dan Tanjung Minyak yang turut disertai Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Lee Han Lim.

Menurut Khairul Adha, tapak sampah haram Tanjung Minyak sebelum ini pernah dibersihkan dan dipasang notis amaran, namun masih ada pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa sampah kira-kira 100 meter dari tapak lama.

Petugas SWCorp memasang papan amaran pada tapak sampah haram yang dibersihkan di kawasan Perindustrian Krubong.

Ujarnya, SWCorp kini dalam usaha mendakwa 10 kilang komersial dan industri kerana kesalahan membuang sisa sampah secara haram dengan tiga kes daripadanya akan didakwa dalam masa terdekat ini.

Kata beliau, bagi mengelak kejadian sama berulang, pihaknya akan menempatkan petugas unit khas SWCorp di lokasi-lokasi panas terutama di kawasan industri Krubong dan Tanjung Minyak bagi mengenal pasti pihak yang mendalangi kegiatan tersebut.

“Sasaran kita mahu tangkap siapa `key player’ ini yang sering membuat onar melakukan kegiatan tidak bertanggungjawab di lokasi-lokasi sampah haram.

“Kita syaki kebanyakan pemilik kilang industri dan komersil melantik kontraktor sampah yang tidak berlesen dan pihak ini mengambil jalan mudah membuang sampah di kawasan tidak dibenarkan,” katanya.

Ini kerana, katanya, kontraktor sampah yang berlesen mudah dikenal pasti berbanding kontraktor tanpa lesen yang lebih gemar membuang sampah secara haram bagi mengelak dikenakan caj bayaran di tapak pelupusan sampah Sungai Udang.

Menurut beliau, bagi memudahkan tangkapan dibuat terhadap dalang kegiatan itu, pihaknya akan memasang kamera litar tertutup di kawasan yang dikenal pasti pada masa terdekat ini.

“Usaha ini membuktikan kita serius dalam menangani kegiatan tapak sampah haram yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

“Jangan sesekali anggap bahawa SWCorp hanya akan berdiam diri disebabkan ada kilang tutup atau dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata beliau.

Katanya, SWCorp terpaksa menjalankan kira-kira 127 operasi pembersihan di tapak sampah haram sejak Januari lalu iaitu purata 20 hingga 30 kali sebulan dengan kos perbelanjaan mencapai sehingga kira-kira RM100,000.

Pada masa yang sama, pihaknya bercadang memberi ganjaran kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat aktiviti pembuangan sampah haram dengan menghubungi talian 1-800-88-7472.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1256
Kongsi :
Previous post HSN2021 Melaka sasar 25,000 penyertaan
Next post Pertandingan akhir Dondang Sayang Antirasuah berlangsung esok secara hibrid
Ubah saiz-+=