Sorting by

×

Demi tanggungjawab…

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 12 Nov – ‘Rasa bercampur-baur malah perasaan berdebar semakin kuat apabila tiba tarikh untuk berlepas ke Sabah,” itu luahan petugas barisan hadapan, Nurul Izzah Norizam, 33.

Dia antara 36 petugas barisan hadapan yang mewakili Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka yang menyertai mobilisasi pasukan bantuan kesihatan dan perubatan COVID-19 ke Sabah.

Nurul Izzah berkata, program mobilisasi itu adalah kali kedua disertainya selepas menyertai misi sama ketika membantu aktiviti penularan Kluster Tabligh pada Mei lalu.

“Kali ini debaran itu semakin kuat terasa kerana berada di kawasan yang berisiko tinggi, namun demi tanggungjawab, insyaAllah saya akan lalui cabaran itu dengan baik bersama rakan seperjuangan yang lain,’ katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Pasukan Mobilisasi Kesihatan Negeri Melaka ke Negeri Sabah di Wisma Persekutuan Ayer Keroh, hari ini.

Walaupun agak sedih kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga, namun dia bersyukur kerana suaminya, Roslan Mohamed, 37 yang bertugas sebagai tentera di Batalion ke-4 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Tapah, memahami tanggungjawabnya dan sentiasa memberi sokongan.

“Buat masa ini, kami belum dikurniakan anak dan inilah masanya kami berdua berkorban demi membantu rakyat dan negara,” katanya.

Sementara itu, dari raut wajah Pegawai Perubatan Pergigian Dr. Bong Mei Fong jelas mempamer riak wajah yang tenang untuk berdepan dengan pesakit COVID-19 gelombang ketiga di Sabah.

“Ini bukan pertama kali saya dan pasukan pergigian dipinjamkan untuk membantu petugas barisan hadapan dalam aktiviti penularan pandemik COVID-19.

“Risiko tetap risiko namun kami sudah biasa berdepan dengan orang ramai, jadi dari segi mental dan fizikal kami sudah bersiap sedia,” katanya.

Views:

423
Kongsi :
Previous post Belia bantu ‘frontliner’ dinobat johan ABPN
Next post 165 premis disanitasi bomba dalam tempoh 43 hari
Ubah saiz-+=