Demi saham akhirat, lima rakan curah tenaga buat sanitasi percuma
PANTAI KUNDOR 4 Jan. – Demi ‘saham akhirat’ lima sahabat sanggup mengorbankan wang ringgit dan masa semata-mata untuk membantu mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19 sejak Mac tahun lalu.
Walaupun tidak mempunyai pekerjaan tetap, mereka mampu mengumpulkan dana untuk melakukan kerja kebajikan menerusi Unit Amal Traders (UAT) yang ditubuhkan hasil pelaburan saham.
Sejak ditubuhkan pelbagai aktiviti digerakkan kumpulan ini seperti menyalurkan bantuan makanan dan bahan masakan kepada anggota yang terkesan akibat pandemik COVID-19 serta membuat sanitasi di semua masjid dan surau di negeri ini.
Pengasasnya, Muhammad Siratal Mustaqim Hamzah, 36, berkata sejak Mac tahun lalu mereka sudah melakukan sanitasi di 80 masjid dan surau seluruh Melaka.
“Alhamdulillah, dengan sumber kami sendiri dan wang diinfakkan oleh rakan di luar UAT, kami membuat sanitasi di masjid dan surau empat atau lima kali sebulan, selain mengedarkan makanan, minuman, bahan masakan, pakaian dan wang tunai kepada anggota komuniti,” katanya ketika membuat sanitasi di Masjid At-Taqwa, Kampung Bukit Darat, Tanjung Kling di sini, semalam.
Yang turut hadir, pengerusi masjid itu, Abdul Razak Omar, 65; bendahari masjid, Mohd Isa Jantan, 65, dan setiausaha masjid, Yusof Abdullah, 63.
Muhammad Siratal Mustaqim, mereka berpegang kepada prinsip rezeki yang diperoleh daripada Allah harus dikembalikan kepada anggota masyarakat.
Selain beliau, kumpulan itu turut dianggotai bekas juruterbang Etihad Airways, Mohd Faizal Mohd Sayed, 43, Hamzah Abdul Ghani, 53, Shukri Ismail, 36, dan Amzar Muhaimin Abdul Latif, 21.
Sementara itu, Mohd Faizal berkata, beliau kehilangan pekerjaan pada Oktober tahun lalu berikutan pandemik COVID-19 membelenggu semua syarikat penerbangan dunia sebelum kembali ke kampung halaman di Sungai Udang selepas 16 tahun berkhidmat di Emiriah Arab Brsatu (UAE).
“Saya menyertai UAT kerana tahu setinggi mana pun saya terbang membelah langit biru, kalau tidak sujud kepada Allah, tiada laluan untuk saya ke syurga,” katanya.
Mohd Faizal menjelaskan, mereka mencari rezeki dengan melabur dalam pelbagai pasaran saham.
“Kami juga terbabit dalam jual beli pasaran mata wang kripto dan dagangan komoditi, terutama minyak mentah di Arab Saudi dan hasil daripada pelaburan itu kami kembalikan kepada mereka yang menanggung beban akibat COVID-19,” katanya.
Sesiapa yang ingin menginfakkan wang boleh berbuat demikian dengan melayari Facebook mhdsiratalmustaqim.hamzah.