Demi kasih isteri pada suami
REMBIA 1 Mei – Meskipun dirinya diuji kehilangan penglihatan akibat kanser hidung namun itu tidak menjadi penghalang buat seorang wanita untuk terus menabur bakti buat suami tercintanya.
Bagi Hazlina Jaafar, 49, dia langsung tidak menjangka anggota badan paling penting iaitu sebelah matanya terpaksa dibuang selepas dijangkiti kanser yang merebak.
Katanya, dalam keadaan dirinya diduga seperti itu, suaminya Suhaimi Supian Suri, 49, turut diuji apabila mengalami kemalangan di tempat kerja sehingga kesihatan diri merosot.
“Alhamdulillah kesihatan saya sekarang bertambah baik, sepanjang tempoh diuji dengan kanser hidung sebelum ini saya cuba kuatkan diri dan melawan kesihatan kerana ingin segera sembuh dan menjaga keperluan suami.
“Saya setkan dalam fikiran bahawa saya sihat kerana jika dilayan sakit ini ia akan membuatkan diri jadi lemah malah dan siapa yang akan uruskan suami serta anak-anak,” katanya.
Hazlina, ditemui di kediamannya di Paya Rumput ketika lawatan Skuad Badan Sukarelawan Al-Taqwa (BSAT), semalam.
Ibu kepada lima anak itu berkata, walaupun perlu menjalani rawatan susulan namun dia lega kesihatan dia bertambah baik selain rutin hariannya dapat dilakukan seperti biasa.
“Meskipun tidak disahkan saya sudah bebas kanser sepenuhnya namun saya amat bersyukur keadaan kesihatan jauh lebih baik selain dapat menjaga suami yang kini kudung sebelah kaki.
“Alhamdulillah, dalam keadaan saya dan suami isteri begini kami tidak dilupakan apabila dibantu Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) begitu juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.