Demi cinta, wanita serah wang simpanan ibu RM418,400 kepada kekasih

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KUANTAN 4 Mac. – Penangan cinta menyebabkan seorang wanita tergamak mengeluarkan wang simpanan ibunya berjumlah RM418,400 untuk diserahkan kepada kekasih yang hanya dikenali menerusi aplikasi media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 28 tahun itu mendakwa berkenalan dengan suspek lelaki yang kononnya ahli perniagaan Melayu menetap di Perancis menerusi aplikasi CINTAKU pada 22 Disember lalu.

“Mangsa mendakwa telah bertukar nombor telefon selain turut berkongsi nombor akaun banknya kerana suspek berhasrat menghantar hadiah termasuk wang tunai sebagai tanda perkenalan mereka pada 26 Disember 2020, diikuti gambar sekeping cek menerusi aplikasi WhatsApp.

“Wanita itu seterusnya menerima e-mel mendakwa dirinya akan menerima RM89,700 menerusi transaksi pemindahan wang luar negara, namun perlu membuat bayaran RM2,000 sebelum wang itu boleh dikreditkan ke akaun mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa yang tidak bekerja itu mendakwa sering menerima pesanan WhatsApp daripada suspek memintanya membuat lebih banyak bayaran atas pelbagai alasan berkaitan hadiah wang tunai itu, dengan pesanan terakhir diterima pada 19 Februari lalu.

Mangsa mendakwa, apabila dihitung semula, dirinya telah membuat 44 transaksi pemindahan wang ke sembilan akaun berbeza diberikan suspek, dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM418,400.

Dia yang akhirnya berasa ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut, kira-kira 188 kilometer dari sini dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

696
Kongsi :
Previous post Melaka cadang bangunkan kelong memancing
Next post Nelayan hingga akhir hayat
Ubah saiz-+=