Defisit keyakinan terhadap keupayaan negara perlu ditangani – Agong
KUALA LUMPUR, 6 Jun – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah sebarang defisit keyakinan yang wujud terhadap keupayaan negara perlu segera ditangani bagi membolehkan negara bangkit semula di persada dunia.
Bagi merealisasikan perkara itu, Seri Paduka bertitah negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil selain didukung oleh sistem penyampaian perkhidmatan dan tadbir urus yang cekap, telus, berintegriti, mesra perniagaan dan mesra rakyat.
“Demi untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan menjadikan negara sebagai pilihan pelaburan utama di rantau ini, menuntut persefahaman dan pengorbanan semua pihak untuk mewujudkan landskap politik yang stabil dan berterusan.
“Beta benar-benar berharap agar segala percaturan politik dapat diselesaikan segera demi untuk mengelak negara dari terjerumus ke kancah ‘defisit keyakinan’ yang boleh menjejaskan imej dan masa hadapan negara,” titah Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi di Istana Negara di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa syukur berhubung prestasi negara pada tahun lepas yang telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang semakin baik.
Seri Paduka bertitah perkara itu dicapai melalui strategi pengurusan kesihatan yang berkesan dan persefahaman politik sekali gus negara boleh kembali mengorak langkah untuk menjayakan agenda pembangunan.
“Situasi COVID-19 juga telah semakin pulih. Negara kini telah memasuki ke fasa peralihan ke endemik, beta merasa amat sukacita melihat rakyat beta daripada berbilang bangsa dan agama lebih positif dalam menjalani kehidupan seharian,” titah Al-Sultan Abdullah.
Seri Paduka turut menyambut baik pembukaan semula sempadan negara bermula pada 1 April lepas yang dilihat mampu untuk menjana dan memulihkan semula ekonomi negara.
“Langkah ini diambil setelah kerajaan beta mengimbangi strategi pengurusan kesihatan, berbanding dengan pemulihan semula ekonomi negara yang terjejas sebelum ini,” titah Yang di-Pertuan Agong.
Al-Sultan Abdullah bertitah bagi memastikan kelangsungan dan ketahanan ekonomi pasca pandemik COVID-19, kerajaan harus terus bijak mengatur langkah dan mengambil peluang dengan meneroka pelbagai strategi baharu yang berinovatif.
Bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, seramai 1,021 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2022. Seramai 45 individu menerima pingat dan darjah kebesaran masing-masing pada istiadat pengurniaan hari ini.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.