DEFINISI T15 AKAN DIMUKTAMAD DALAM TEMPOH SEBULAN
BANDA HILIR 28 Oktober – Butiran kategori kumpulan T15 akan dimuktamadkan dalam tempoh sebulan oleh Kementerian Ekonomi sebelum dibentangkan kepada kabinet.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata tempoh sebulan diperlukan untuk menyediakan kerangka lebih tepat bagi kumpulan T15 berdasarkan lokaliti kawasan dan bukan definisi nasional seperti dasar terdahulu.
Katanya, T15 atau individu diklasifikasikan sebagai berpendapatan tinggi akan ditentukan berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih atau ‘net disposable income’ serta lokasi tempat tinggal.
“Penentuan kadar boleh belanja bersih tidak boleh diselaraskan secara sama rata tanpa mengambil kira Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) mengikut sesuatu lokaliti.
“Dianggarkan kira-kira 10 juta isi rumah seluruh negara berpotensi untuk diklarifikasi dalam kumpulan T15, namun perlu penilaian teliti berdasarkan pelbagai medium seperti Sistem Pangkalan Data Utama (PADU),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) oleh Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Melaka di Sebuah Hotel, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Menteri Ekonomi Rafizi Ramli;Â Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) Kementerian Ekonomi, Datuk Dr. Yatimah Sarjiman; Ketua Pengarah Bahagian Bajet Pembangunan, Kementerian Ekonomi, Mohd Sukri Mat Jusoh, barisan Exco serta timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.