Sorting by

×

‘Deepavali tahun ini lebih bermakna’

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BANDA HILIR 27 Okt – “Terima kasih kerajaan benarkan rentas negeri, perayaan Deepavali tahun ini lebih bermakna sebab dapat jumpa anak dan saudara mara”.

Itu luahan N. Mahendran,60, yang gembira apabila tahun ini dia dapat bersua kembali bersama anak-anaknya bagi menyambut perayaan tersebut.

N. Mahendran

Dia yang berasal dari Muar, Johor berkata, jika tahun lalu suasana raya dianggap agak suram, namun tahun ini, kemeriahan itu kian dirasai yang mana dia dan keluarga sanggup berhabis ribuan ringgit untuk persiapan Deepavali pada 4 Nov nanti.

“Setiap tahun saya akan datang ke Melaka untuk beli barangan persiapan Deepavali, tahun lepas tak dapat raya tapi tahun ini syukur dapat raya dengan keluarga.

“Dekat Muar tiada kedai yang jual barang untuk Deepavali, jadi setiap tahun saya ke sini (Melaka), biasanya saya belanjakan hampir RM1,500.

“Tak sabar tunggu anak dari Kuala Lumpur dan Terengganu balik, tahun lepas pun raya empat orang saja di rumah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Bagi A.R. Rajendran, 60 pula segala persiapan untuk menyambut perayaan Deepavali telahpun siap dan kini hanya menunggu kepulangan anak-anak dari Rawang dan Johor.

A.R. Rajendran

“Persediaan untuk sambut Deepavali semua dah siap, harini cuma beli barang-barang untuk masak, biasanya tiap kali raya saya akan belanja hingga RM4,000.

“Ini termasuklah beli pakaian untuk cucu dan keluarga, syukur dapat raya tahun ini nanti suasana raya akan lebih meriah,” katanya.

Sementara itu, pembantu jualan, K. Shalini, 35, gembira apabila perniagaan kedainya kini kembali mendapat sambutan pengunjung dari dalam dan luar negeri.

K. Shalini

“Hujung minggu kalau nak dekat raya memang ramai datang sebab semua dah boleh rentas negeri, paling ramai dari Muar, Tangkak, Seremban dan Kuala Pilah datang sini.

“Anggaran dalam sehari 1,000 pelanggan datang kedai ni, mereka (pelanggan) pilih kedai kita sebab harga berpatutan, ada diskaun 20 peratus dan pelbagai barangan dijual.

“Jangan kata kaum India sahaja yang datang beli-belah, malah Cina dan Melayu pun ramai datang kedai ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

569
Kongsi :
Previous post SWM Environment sasar 100 rumah ibadat berdaftar KITARecycle
Next post SOP menyelamat ketika banjir akan ditambah baik
Ubah saiz-+=