Deepavali lebih ‘bercahaya’ buat 1,000 kaum India Melaka
AYER KEROH 30 Oktober – Sambutan Deepavali tahun ini lebih bermakna buat 1,000 penduduk berketurunan India di negeri ini yang menerima bantuan kewangan yang disalurkan oleh Kerajaan Melaka.
Sumbangan kepada penerima berkenaan disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali Peringkat Negeri Melaka 2023 berlangsung di Dewan Mini Stadium Bistari, di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri memperuntukan sebanyak RM200,000 bagi meringankan beban kewangan penerima selain membantu mereka melakukan membuat persiapan lebih baik menjelang sambutan Hari Deepavali pada 12 November ini.
“Bantuan ini adalah menerusi Tabung Amanah Kebajikan Negeri Melaka, seramai 460 penerima adalah mereka tinggal di Daerah Melaka Tengah; Alor Gajah seramai 325 penerima dan Jasin seramai 215 penerima.
“Inisiatif pemberian sumbangan ini adalah sebagai tanda komitmen dan pengiktirafan Kerajaan Negeri kepada masyarakat India yang akan meraikan perayaan Hari Deepavali tidak lama lagi,” katanya ketika berucap merasmikan majlis itu.
Program itu dihadiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.
Hadir sama Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin.
Turut hadir, Timbalan-timbalan Exco, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Zulkifli Hanifah serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri tidak pernah lupa menghulurkan sumbangan kepada rakyat yang kurang bernasib baik sebagai usaha meringankan beban sekali gus menceriakan sambutan perayaan mereka.
“Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum dalam menyalurkan bantuan dan sumbangan yang bersesuaian terutama kepada golongan memerlukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.