Sorting by

×

Deepavali disambut secara sederhana

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

GADEK 14 Nov. – Sambutan perayaan Deepavali susulan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di ini negeri disambut secara sederhana dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti yang telah ditetapkan kerajaan.

Rata-rata masyarakat India mematuhi peraturan terbabit malah menekankan faktor keselamatan terutama ketika mengunjungi kuil bagi melaksanakan upacara sembahyang pada pagi tadi.

Tinjauan Melaka Hari ini mendapati, Kuil Sri Sithi Vinayagar Sri Bala Subramaniar yang merupakan kuil terbesar dalam komuniti Daerah Alor Gajah telah mengikut SOP yang diperintahkan, malah turut dipantau beberapa kakitangan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi mengawal laluan keluar masuk di kawasan terbabit.

PENDAFTARAN masuk dan pemeriksaan suhu mengikut SOP dikawal selia oleh anggota RELA yang bertugas.

Pengerusi kuil berkenaan, M. Kalai Chelvan berkata, sanitasi secara menyeluruh akan dilaksanakan pihak pengurusan kuil setiap setengah jam bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin untuk melaksanakan upacara utama pada perayaan berkenaan.

Katanya, pelbagai persediaan telah dilaksanakan sebaik kerajaan membenarkan upacara sembahyang di kuil dengan meningkatkan lagi penekanan beberapa SOP diperintahkan sejak seminggu lalu.

Menurutnya, penggayaan norma baharu seperti meletakkan perekat pada jarak satu meter, sanitasi serta pelbagai lagi telah dilakukan pihaknya sejak September lalu.

“Kunjungan orang ramai telah bermula sejak jam 6.30 pagi tadi dan kami menggunakan pendekatan ruangan menunggu kepada orang ramai di dewan bersebelahan kuil demi mematuhi SOP yang telah berkuatkuasa.

M. Kalai Chelvan

“Perkara ini disebabkan hanya 30 individu dibenarkan memasuki ruangan kuil dalam sesebuah masa dan tertakluk kepada keluasan kuil.

“Sekiranya melebihi angka tersebut pihak kami akan menutup ruangan kuil dengan kawalan anggota RELA dan orang ramai dibenarkan menunggu di dewan yang disediakan.

“Sejurus selepas upacara selesai, kami akan melaksanakan sanitasi semula sebelum membenarkan pengunjung yang menunggu memasuki dalam kawasan kuil secara bergiliran.

“Malah, dua pintu turut disediakan bagi mengkhususkan aliran pergerakan orang ramai untuk memasuki dan keluar dari kawasan kuil,”katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, sami kuil tersebut, M. Ramesh berkata, pihaknya serius dalam mengetatkan peraturan di sepanjang upacara terbabit dengan beberapa pendekatan lain turut telah digunakan.

Katanya, papan tanda bagi memaklumkan SOP kepada penganut Hindu di kawasan itu telah digantung sejak awal lagi.

“Selain itu, pihak pengurusan kuil turut memaklumkan kepada orang ramai menggunakan pendekatan platform atas talian termasuk berhubung menggunakan aplikasi Whatsapp bagi memaklumkan perkara ini.

M. Ramesh

“Malah, kami tidak menggalakkan ibu-bapa bagi membawa kanak-kanak bawah 12 tahun untuk berkunjung ke kuil ini dan rata-rata masyarakat di komuniti ini akur dan mematuhi perintah terbabit.

“Kebiasaannya pada perayaan utama masyarakat India lebih 400 pengunjung akan berada dalam kawasan ini sehinggakan jalan raya menghadapi kesesakan lalu lintas bagaimanapun ini pengalaman tidak dapat dilupakan kerana sambutannya begitu berbeza sekali tahun ini,”katanya.

Views:

429
Kongsi :
Previous post Suami isteri melecur, gas memasak meletup
Next post Aplikasi Zoom jadi pengubat rindu
Ubah saiz-+=