DEEPAVALI: 75 MURID DAPAT SUMBANGAN BAJU RAYA

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDARAYA MELAKA 22 Oktober – Riak wajah ceria jelas kelihatan di wajah 75 murid apabila menerima baju raya sempena Deepavali yang bakal disambut hujung bulan ini.

Bermacam keletah dapat dilihat ketika anak-anak ini diberi peluang untuk memilih sendiri baju baharu yang mereka sukai dengan dibantu guru pengiring.

Bagi penerima B. Sathisan, 11, berkata, dia tidak menyangka diberi peluang untuk bersama-sama rakan yang lain ke premis pakaian untuk memilih baju baharu sempena Deepavali.

Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jasin itu berkata, seperti kanak-kanak yang lain dia juga mahu menggayakan kurta baharu di pagi perayaan.

“Bagi saya walaupun hanya ada sepasang baju baharu itu sudah cukup tetapi jika ada lebih itu amat menggembirakan.

“Dengan dibantu oleh guru, saya memilih baju berwarna hitam untuk digayakan pada hari raya nanti. Terima kasih kepada Datuk VP Shanmugam dan Kerajaan Negeri di atas sumbangan ini,” katanya.

Anak bongsu daripada dua beradik itu ditemui pemberita selepas penyampaian Bantuan Pakaian Deepavali kepada 75 murid kurang berkemampuan yang disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam, di Jalan Little India, semalam.

Sathisan berkata, dengan bantuan yang diterima itu, ia sekali gus dapat membantu meringankan beban ibunya dalam menyediakan persiapan raya selepas pemergian bapanya enam tahun lalu.

Seorang lagi penerima, A. Yoshini, 11, dari SJKT Ladang Diamond Jubilee, Jasin, berkata, dia amat teruja dan tidak sabar selepas diberi tahu menjadi antara tiga murid di sekolahnya yang terpilih menerima baju baharu.

“Selain perasaan gembira, saya juga berasa tidak sabar untuk bersama-sama dengan rakan yang lain membeli baju baharu.

“Terima kasih saya ucapkan kepada penyumbang kerana dengan keprihatinan semua, kami anak-anak yang kurang berkemampuan dapat baju baharu,” katanya.

Sementara itu, Shanmugam yang juga Pengerusi MIC Negeri Melaka berkata, untuk sumbangan bantuan Deepavali 2024, seramai 75 orang murid dari 21 SJKT seluruh Melaka yang kurang berkemampuan dipilih menerima sumbangan.

“Dengan bantuan sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kita dapat kenal pasti murid-murid yang kurang berkemampuan untuk dibantu justeru itu kita memperuntukkan kira-kira RM20,000 bagi disalurkan bagi sumbangan pakaian baharu ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

83
Kongsi :
Previous post ANCAMAN HARIMAU KUMBANG BIMBANGKAN PENDUDUK
Next post MELAKA BAKAL PECAH REKOD KAPAL TERBANG KERTAS
Ubah saiz-+=