Sorting by

×

Dedah pendidikan STEM kepada anak Orang Asli

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

DURIAN TUNGGAL 31 Julai – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) cakna terhadap pendidikan anak-anak Orang Asli dengan menyantuni 200 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 14 Tapah, Perak, baru-baru ini.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Program Pemindahan Kepakaran Bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) melibatkan murid darjah tiga hingga enam sekolah tersebut.

Pengarah program Muhammad Izz Khairol Bahry berkata, menerusi program UTeM menyampaikan kepentingan program STEM kepada anak Orang Asli di peringkat sekolah rendah.

Menurutnya, UTeM menggunakan pendekatan berbeza dengan mengetengah dan mendedahkan teknologi terkini seperti dron, pencetakan 3D, kereta solar dan pen pencetak 3D kepada mereka.

“Kita mengajar mereka teknik mengendalikan dron, menggunakan pencetak 3D dan membina kereta solar, pelajar bukan sahaja tertarik dengan bidang ini tetapi mendapat keyakinan dan motivasi untuk berjaya dalam teknologi dan kejuruteraan.

“Agenda ini bukan sahaja meningkatkan minat pelajar terhadap STEM, malah berjaya menyuntik inspirasi mereka untuk mencapai cita-cita tinggi dan merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.

“Program ini memberi mereka ilmu pengetahuan yang sukar diperoleh di sekolah biasa kerana mereka terlibat secara langsung dan praktikal merasai pengalaman teknologi terkini secara nyata,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni, Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) UTeM, Dr. Nadlene Razali berkata pendidikan STEM merupakan elemen yang dapat mencorak kehidupan lebih cemerlang.

“Dengan sokongan jitu dan berterusan menerusi pendidikan STEM juga menjadi dimensi yang mampu mengangkat komuniti Orang Asli mencapai kemajuan sama dengan masyarakat di luar sana, katanya.

Sementara itu Penolong Kanan Pentadbiran SK Batu 14, Sarina Metuhu berterima kasih kepada UTeM yang sudi menjayakan program sebegini bagi membuka minda pelajar mereka tentang pendidikan STEM.

“Kami amat berbesar hati dan sentiasa memberi sokongan serta galakkan sepenuhnya kepada pelajar untuk mengambil peluang ini bersama pihak universiti.

“Pendedahan begini mengajar pelajar-pelajar kami faham tentang kepentingan STEM untuk berfikir secara logik dan analitis, pengalaman ini turut membantu dalam kehidupan seharian pada masa kini,” katanya.

Program tersebut adalah hasil kerjasama antara FTKM, Persatuan Pelajar Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (MeTECH), Makers@UTeM, Pusat Kolaborasi RICE UTeM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan warga SK Batu 14 Tapah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

298
Kongsi :
Previous post Jom kembara ilmu di tiga muzium
Next post Anak jati Tanjung Bidara intai pingat di SUKMA
Ubah saiz-+=