Sorting by

×

‘Dating’ di pantai antara 28 dikompaun RM94,500

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 22 Sept – Padah berkasih sayang di tepi pantai, sepasang kekasih antara 28 individu yang dikenakan kompaun berjumlah RM94,500 atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai Turus Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nikmat berkata, pasangan berusia lingkungan 30-an itu ditahan sekitar jam 5 petang semalam di Pantai Puteri.

“Ketika diperiksa, pasangan kekasih berusia lingkungan 30-an itu didapati belum melepasi tempoh matang 14 hari vaksin dari tarikh dos kedua diterima walaupun telah menerima dua dos lengkap.

“Anggota polis kemudian terpaksa bertindak tegas mengeluarkan kompaun berjumlah RM2,000 kepada setiap seorang,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini hari ini.

ANGGOTA polis mengeluarkan kompuan kepada mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di dalam kedai makan.

Mengulas lanjut Nik Ab Halim berkata, secara keseluruhannya, Polis Melaka mengeluarkan 28 kompaun bernilai RM94,500 sepanjang Op Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 4 September lalu sehingga semalam.

Ia membabitkan 23 kesalahan ‘dine-in’ dan lima kesalahan di pantai seperti tidak lengkap dos dan tiada penjarakan fizikal di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Operasi berkenaan katanya, membabitkan kekuatan 38 pasukan polis terdiri daripada 101 pegawai dan anggota yang bergerak secara rawak memantau pusat reakreasi khususnya kawasan pantai yang sering mendapat tumpuan ramai ketika ini.

Pegawai Turus Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam (JKDNKA), Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat.

“Fokus utama bukanlah untuk mencari kesalahan, namun ia lebih kepada mendidik dan memberi pengajaran kepada orang ramai termasuk pengusaha kedai makan yang menyediakan khidmat ‘dine-in’.

“Ini juga sebagai persediaan supaya orang ramai lebih peka sebelum lebih ramai pelancong memasuki Melaka menjelang pelaksanaan gelembung pelancongan negara 1 Oktober ini,” katanya.

Tambahnya, antara kesalahan paling banyak dikesan sepanjang Op Fasa 2 PPN adalah ketika aktiviti berkelah di pantai dan ‘dine-in’ di kedai makan tanpa lengkap dua dos vaksin.

PEMERIKSAAN di kedai makan terhadap mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain pelanggan, pemilik premis juga dikenakan kompaun RM10,000 kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya minta orang ramai gunakanlah kelonggaran diberikan pihak berkuasa ini sebaik-baiknya demi kelansungan ekonomi kita semua,” katanya.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1300
Kongsi :
Previous post Melaka tidak tergesa-gesa buka sektor pelancongan tanpa SOP mantap- Muhammad Jailani
Next post Tambah baik dokumen SKN 2.0 dalam peringkat akhir – PAT
Ubah saiz-+=