Sorting by

×

DATARAN BANDARAYA MBMB ‘PORT’ NYAMAN BERBUKA PUASA

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 5 Mac – Keindahan suasana malam yang dihiasi lampu hiasan berwarna-warni di Dataran Bandaraya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menjadi tarikan kepada orang ramai untuk berbuka puasa bersama ahli keluarga dan rakan taulan.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, pada tahun lalu lokasi itu menjadi tumpuan ramai dan hampir setiap malam dipenuhi pengunjung untuk berbuka puasa.

Katanya, untuk itu pada tahun ini pihaknya amat mengalu-alukan kedatangan orang ramai untuk memeriahkan Jom Santai Bersama Keluarga @Dataran Bandaraya MBMB.

“Bagi memudahkan pengunjung yang datang untuk berbuka puasa kemudahan fasiliti seperti tempat solat tertutup turut disediakan.

“Pengunjung yang datang boleh membawa juadah berbuka dan tikar sambil menikmati keindahan suasana pada waktu malam, selain mereka juga boleh berkongsi gambar iftar mereka di laman Facebook rasmi MBMB,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Shadan, pengunjung yang datang bagaimanapun diingatkan supaya dapat menjaga dan mengutamakan kebersihan kawasan sekitar dengan tidak meninggalkan sampah merata-rata.

“Apa yang penting jangan lupa jaga kebersihan dan buanglah sampah atau sisa makanan ke dalam tong sampah yang disediakan di sekitar kawasan dataran.

“Selain itu, saya juga berharap agar kemudahan yang disediakan turut diguna pakai dengan baik dan berhemah,” katanya.

Selain menyediakan lokasi berbuka, Shadan memaklumkan, MBMB turut mengedarkan air balang secara percuma kepada orang ramai pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad di lokasi sama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post KOTOR: TIGA DAPUR HOTEL DIARAH TUTUP
Next post MELAKA BENARKAN JUALAN BUNGA API, MERCUN 20 HARI SEBELUM RAYA