Datanglah vaksin, PPV mega Melaka masih ‘sendu’

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PAYA RUMPUT 11 Sept. – Lengang dan sunyi sepi. Itulah yang dapat digambarkan tentang keadaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega Stadium Hang Jebat, Krubong di sini, sejak pagi tadi.

Walaupun kerajaan negeri telah memberi peluang kepada orang ramai untuk datang secara terus ke semua PPV awam dan mega di negeri ini untuk mendapatkan vaksin COVID-19 bermula hari ini, namun sambutan yang diterima masih kurang memberangsangkan.

Difahamkan setakat jam 12 tengah hari tadi, hanya kira-kira 90 rakyat tempatan dan warga asing hadir ke PPV itu bagi mendapatkan vaksin.

Pengarah Klinikal Klinik Keluarga One Medic yang bertugas di PPV mega Stadium Hang Jebat, Dr Nooraishah Alias, 34 berkata, sambutan kurang memberangsangkan itu mula dikesan pada minggu kedua selepas PPV berkenaan beroperasi 30 Ogos lalu.

Katanya, data harian pada minggu kedua menunjukkan hanya sekitar 400 individu hadir ke PPV berkenaan setiap hari untuk mendapatkan vaksin berbanding kuota 5,000 yang ditetapkan.

PPV Stadium Hang Jebat lengang sejak awal pagi tadi walaupun pemberian vaksin sudah dibuka secara ‘walk in’.

Katanya, pelbagai cara telah dilakukan pihaknya bersama semua petugas terlibat termasuk menghubungi individu serta syarikat yang mempunyai pekerja belum divaksin, namun inisiatif itu tidak menunjukkan perubahan ketara.

Justeru, beliau meminta rakyat negeri ini agar mengambil peluang yang ada secepat mungkin memandangkan PPV mega itu dijangka hanya beroperasi empat minggu sahaja lagi.

“Kalau anda tidak boleh menulis atau membaca sekalipun, jangan risau, semua petugas di sini akan sedia membantu dari awal hingga akhir.

“Malah bagi pekerja asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI) sekalipun kita akan terima dan memberikan suntikan vaksin bagi membantu negeri ini mencapai imuniti kelompok.

“Jadi, kita berharap kira-kira 69,000 orang Melaka berusia 18 tahun ke atas yang masih belum menerima vaksin agar datang segera ke sini kerana kita risau mereka akan hilang peluang menerima vaksin secara ‘walk in’ dan percuma ini,” katanya ketika ditemui di PPV berkenaan hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1136
Kongsi :
Previous post Alat pengudaraan udara jatuh hempap treler di Terowong Semarak
Next post Datang ‘walk in’, tak sampai 10 minit dah divaksin
Ubah saiz-+=