Datang ‘walk in’, tak sampai 10 minit dah divaksin
PAYA RUMPUT 11 Sept. – Penerima vaksin secara ‘walk in’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega Stadium Hang Jebat bermula hari ini memuji kepantasan petugas yang hanya menyelesaikan suntikan dalam masa 10 minit.
K. Sugumari, 43 dari Durian Tunggal berkata, dia hadir ke PPV berkenaan secara sukarela memandangkan namanya tidak dipanggil dalam janji temu MySejahtera.
Katanya, dia tidak menyangka proses menerima vaksin di situ begitu cepat dan mudah walaupun sebelum ini dimomokkan terpaksa beratur dan menunggu lama.
“Saya ingat nak dapat vaksin susah, tetapi rupanya sangat senang. Tak sampai 10 minit sudah selesai.
“Memang saya gembira kerana prosesnya begitu mudah dan saya berharap semua orang yang belum divaksin dapat segera datang ke sini,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penerima vaksin, Muhammad Rozaime Ghazali, 22 berkata, kehadirannya ke PPV berkenaan pagi ini adalah untuk mendapatkan suntikan dos kedua selepas ia tergendala sebelum ini disebabkan urusan peribadi.
Dia yang juga pekerja sebuah kilang di Batu Berendam berkata, sejak datang ke PPV mega itu pada jam 10.30 pagi, dia hanya memerlukan masa setengah jam untuk lengkap menerima dos kedua dan sijil vaksinasi.
“Kepada orang di luar sana, datanglah menerima vaksin di sini kerana ia sangat cepat dan mudah. Petugas juga cukup mesra dan banyak membantu.
“Lagipun, sekarang ini susah untuk kita kemana-mana jika tidak divaksin,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.