
DATANG ‘OPEN HOUSE’ ASAHAN BAWA PULANG MOTOSIKAL
ASAHAN 12 April – Sebanyak empat buah motosikal sebagai hadiah cabutan bertuah menjadi antara tarikan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di Taman Batang Melaka Jaya, di sini, malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, tarikan tersebut dilakukan bagi menarik penduduk sekitar DUN Asahan berkunjung ke majlis tersebut.
Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri memaklumkan, sebanyak tiga motosikal elektrik, selain sebuah motosikal Honda Wave disediakan sebagai hadiah utama pada majlis yang diadakan bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri itu.
“Alhamdulillah lebih 5,000 pengunjung menghadiri majlis ini, di mana hadiah bertuah itu kita memang berikan khas buat penduduk DUN Asahan.
“Setiap pengunjung yang hadir kita minta untuk mengimbas kod QR dan memuat turun aplikasi Asahan Sejahtera sebagai pendaftaran sekali gus melayakkan mereka menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah motosikal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di Taman Batang Melaka Jaya di sini malam tadi.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.
Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata sambutan kali ini turut dimeriahkan dengan persembahan daripada artis jemputan seperti Nizam Laksamana, Afieq Shazwan dan Yasser Fikri.
Jelasnya, pada majlis itu juga pengunjung disajikan dengan lebih 15 juadah istimewa yang dimasak secara ‘rewang’ oleh penduduk DUN Asahan.
“Kita bawakan khas pada majlis ini sate 50 sen yang terkenal di Asahan, selain itu antara hidangan yang dimasak secara rewang bersama penduduk setempat adalah nasi jagung, ayam masak kurma, rendang ayam serta pelbagai lagi hidangan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.