Sorting by

×

DATANG MELAKA TUNGGANG RXZ, BALIK SELANGOR PANDU X50

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 8 Disember – Datang dengan motosikal Yamaha RXZ, pulang dengan sebuah Proton X50.

Itulah gambaran rezeki buat anak muda yang berasal dari Rawang, Selangor ini apabila namanya menjadi yang paling bertuah dalam kalangan puluhan ribu peserta RXZ Members Ride Edition 2.0 Melaka Attack 2024 di Dataran MITC, malam tadi.

Muhammad Aiman Hakimi, 23, diumumkan sebagai pemenang utama pada acara kemuncak program itu yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Dia yang merupakan seorang pelaut bagaikan tidak menyangka penyertaan pertamanya dalam program himpunan RXZ di Melaka memberikan rezeki tidak disangka-sangka.

“Sepatutnya saya datang ke Melaka dengan ayah saya, tetapi saat-saat akhir motosikalnya mengalami kerosakan dan dia meminta saya untuk teruskan perjalanan ke Melaka bersama rakan-rakannya.

“Jadi, apabila saya hubungi ayah memaklumkan saya menang kereta, dia terkejut dan saya sendiri masih rasa seperti tidak percaya.

“Sejujurnya, saya memang tidak harapkan apa-apa, tetapi mungkin berkat doa ibu dan ayah, selain rezeki dari Allah SWT saya memenangi hadiah istimewa ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada program berkenaan.

Muhammad Aiman berkata, Melaka merupakan antara negeri yang cukup istimewa untuknya dan keluarga kerana sering menjadikan bumi bersejarah ini sebagai destinasi percutian.

“Saya dan keluarga memang selalu datang ke Melaka kerana kami sangat menyukai pelbagai tarikan yang ada terutamanya makanan di negeri ini memang terbaik.

“Dengan kemenangan ini, ia menambahkan lagi kenangan indah saya di Melaka dan saya mengucapkan berbanyak terima kasih terutamanya kepada Ketua Menteri Melaka kerana menyediakan hadiah yang cukup bermakna seperti ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8616
Kongsi :
Previous post LEBIH 50,000 GENG RXZ ‘GEGAU’ MELAKA
Next post IMPIAN MILIKI RXZ JADI NYATA