Data MySejahtera hak milik mutlak kerajaan Malaysia – Khairy
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perkara itu merupakan antara terma utama yang terkandung dalam Perjanjian Ketakdedahan (NDA) antara Majlis Keselamatan Negara di pihak kerajaan dengan KPISOFT pada 1 April 2020.
Justeru, beliau memberi jaminan segala data yang tersimpan di dalam pangkalan data MySejahtera adalah terpelihara, dan hanya bagi tujuan kawalan pandemik oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Dalam hal ini, penggunaan dan pengurusan data MySejahtera adalah tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dan piawaian antarabangsa.
“Selain itu, transaksi data daripada aplikasi MySejahtera dimuat naik ke jaringan pelayan awan setiap hari, dan hanya boleh diakses untuk kegunaan aplikasi MySejahtera serta aplikasi sokongan yang berkaitan dengan pandemik COVID-19 sahaja,” katanya semasa menggulung usul berkaitan aplikasi MySejahtera di Dewan Negara hari ini.
Berhubung keselamatan aplikasi dan data pula, beliau berkata pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), menjalankan pelbagai ujian bagi memastikan aplikasi itu selamat, pengujian penembusan dan kerentanan) sebelum ia dilancarkan.
Selain itu, katanya NACSA juga menjalankan audit keselamatan berkala setiap bulan, dan melaksanakan ujian penembusan dari semasa ke semasa, selain turut melaksanakan jejak audit kepada server yang menyimpan data MySejahtera ini.
“Kalau ada sesiapa yang cuba log masuk ambil data daripada server kita, kita akan tahu siapa log masuk data itu,” katanya.
NACSA melalui Pusat Penyelarasan Siber Negara (NC4) juga memantau keselamatan secara berterusan ke atas aplikasi MySejahtera, untuk mengesan sebarang pencerobohan selain hasil semakan juga mendapati syarikat pengendali aplikasi MySejahtera ini juga telah menerima piawaian ISO270001 (ISMS).
Katanya piawaian ini ialah spesifikasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat, meliputi dasar dan pengurusan keselamatan maklumat, keselamatan fizikal dan persekitaran, keselamatan komunikasi dan keselamatan sumber manusia.
“Berdasarkan fakta-fakta ini, saya ingin menekan bahawa setiap data dan maklumat yang diperolehi menerusi aplikasi MySejahtera adalah hak milik kerajaan dan terjamin keselamatan dan kerahsiaannya.
“Saya berharap orang ramai akan terus menggunakan aplikasi MySejahtera tanpa ragu-ragu. Kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.