DARI TEPI JALAN KE TAPAK PESTA, PENIAGA UCAP TERIMA KASIH KETUA MENTERI

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

TANJUNG BIDARA 14 September – Siapa sangka daripada hanya bergelar peniaga ayam goreng di tepi jalan, anak muda ini diberi peluang berniaga di satu program cukup gah yang menghimpunkan ramai pengunjung dan pelancong.

Jeffry Joewahkhir Jefri Zol, 18, anak jati Tanjung Bidara terharu apabila diberi peluang oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk berniaga di tapak Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024, di sini.

Menurutnya, sambutan yang diterima sejak hari pertama pesta terbabit, semalam sangat menggalakkan apabila pengunjung tidak putus-putus datang dari awal pagi.

“Pelbagai tarikan yang ada di sini menyebabkan pelancong luar turut berminat datang, ia sekali gus membantu penduduk kampung menjana pendapatan.

“Ini juga satu bukti bahawa pemimpin melakukan tugas terbaik dalam membawa limpahan manfaat dan ekonomi kepada rakyat dan kawasan luar bandar seperti Tanjung Bidara ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Img 20240914 Wa0021
JEFFRY

Seorang lagi peniaga air dan kuih-muih Muhammad Ammar Faris Azmi, 20, turut berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana membantu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di kawasan tersebut.

“Pesta ini bukan sahaja membantu peniaga kecil seperti kami, bahkan dapat memperkukuh silaturahim dalam kalangan rakyat dan pada masa sama saya percaya ia dapat memajukan kawasan luar bandar seperti ini.

“Saya berharap Ketua Menteri akan memperbanyakkan lagi program seperti ini setiap kawasan luar bandar agar manfaat dan limpahan kemajuan Negeri Melaka dapat dirasai semua,” katanya.

Untuk rekod, Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan berakhir esok.

Pelbagai pengisian diadakan sepanjang penganjuran tersebut, antaranya Tanjung Bidara Berselawat, Ceramah Maulidur Rasul, acara sukan, gerai jualan, konsert menampilkan artis popular, pameran aset, selain pelbagai hadiah menarik boleh dimenangi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1752
Kongsi :
Previous post 52 BERENTAP REBUT GELARAN JUARA EXPLORACE TANJUNG BIDARA
Next post PESTA PANTAI BERI NAFAS BAHARU UNTUK TANJUNG BIDARA
Ubah saiz-+=