
‘DAPUR SISWA’ POLITEKNIK MELAKA BANTU KELUARGA MEMERLUKAN
KESIDANG 24 Mac – Lapan keluarga memerlukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang terpilih menerima sumbangan kit Ramadan menerusi Program Dapur Siswa Politeknik Melaka (PMK).
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin berkata, program itu adalah anjuran Pembimbing Rakan Siswa (PRS) di bawah Unit Pengurusan Psikologi PMK iaitu PRSPMK.
“Mereka ini adalah penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala program pula dilaksanakan oleh pelajar PMK yang ingin membantu golongan memerlukan.
“Inisiatif seperti ini amat penting, ia bukan sahaja membantu meringankan beban tetapi juga menggalakkan budaya tolong-menolong dalam kalangan mahasiswa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Program tersebut turut mendapat kerjasama Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Melaka Tengah dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Melaka.
Allex Seah yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berharap program itu akan diteruskan pada tahun mendatang bagi membantu lebih ramai keluarga yang memerlukan.
“Dengan kejayaan program ini, diharapkan lebih banyak pihak dapat menyokong dan menyumbang dalam usaha kebajikan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga.
“Ini merupakan program yang wajar diteruskan kerana ia bukan sahaja dapat meringankan beban penerima tetapi membawa nama baik PMK agar lebih dikenali.
“Kit makanan yang diterima merupakan sumbangan daripada KPDN Negeri Melaka melalui Gerakan Pengguna Siswa PMK,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.