Dana RM30,000 bantu asnaf berniaga
AYER KEROH 25 Julai – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memperuntukkan sejumlah RM30,000 bagi menjayakan Program Usahawan Asnaf Berdikari KEMAS Melaka 2022.
Pengarah KEMAS Melaka Rozkhaidi Othman berkata, program menerusi kerjasama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) itu membabitkan 10 asnaf terpilih yang benar-benar ingin mengubah kehidupan dan menjana pendapatan.
Rozkhaidi berkata, melalui program dianjurkan peserta diberikan pendedahan mengenai cara untuk memulakan perniagaan dan menjana pendapatan.
“10 peserta ini adalah perintis program, jika mereka berjaya kami perluaskan lagi. Kami akan pantau perkembangan semasa dan pencapaian asnaf berkenaan bagi tempoh dua tahun.
“Peserta akan diberikan modal termasuk peralatan berjumlah RM3,000 setiap seorang selain menghadiri kursus kemahiran jangka pendek membabitkan asas pengiraan kos dan pengendalian makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Asnaf Berdikari KEMAS Melaka 2022 yang disempurnakan Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka Abdul Hakim Abdul Wahid, di Menara Persekutuan, hari ini.
Menurutnya, walaupun masih baru namun hasil kursus dan bimbingan diberikan peserta dilihat mempunyai keberanian berniaga dan menunjukkan keiinginan untuk berdikari.
“Ini antara platform latihan praktikal bagi usahawan asnaf kendalian KEMAS memajukan diri selain dapat melahirkan golongan asnaf yang terlatih serta boleh berdikari,” katanya.
Menurutnya, selain 10 peserta asnaf program jualan selama dua hari itu turut membabitkan 28 peserta ‘Quit Win’.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.