DANA RM3.37 JUTA MANTAPKAN SISTEM KAMPUNG DIGITAL
KUALA LUMPUR 6 Januari – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meluluskan dana berjumlah RM3.37 juta bagi pembiayaan inisiatif Kampung Digital Melaka (KDM).
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata dana itu diluluskan Mesyuarat Penyelarasan Dana Pembiayaan SKMM pada 24 Julai lalu.
“Terima kasih kepada SKMM khususnya Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil atas sokongan yang dizahirkan kepada Kerajaan Negeri Melaka.
“Dana ini akan dimanfaatkan sebaiknya bagi menaik taraf sistem Kampung Digital sedia ada secara menyeluruh yang antaranya, penambahan modul sistem, aplikasi mudah alih, integrasi sistem dan lain-lain keperluan.
“Kerajaan Negeri juga berjaya mendapatkan Sijil Hak Cipta Kampung Digital yang didaftarkan pada 23 November 2023 melalui Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Antara SKMM Dengan Kerajaan Negeri Melaka, disaksikan Fahmi di sebuah hotel, hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.
Yang turut hadir Penasihat Undang-Undang Negeri, Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri juga telah menerima kelulusan pendaftaran cap dagangan (trademark) logo Kampung Digital pada 6 Disember 2023.
“Kelulusan ini secara langsung menjadikan logo tersebut tertakluk di bawah perlindungan Akta Harta Intelek untuk tempoh 10 tahun.
“Saya yakin Kampung Digital ini berpotensi besar dijadikan sebagai model penyelarasan alamat kampung yang lebih bersistematik sekali gus diangkat menjadi contoh mendigitalkan kampung di seluruh Malaysia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.