Dana RM1 juta digunakan sebaiknya – Pesaka

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 1 Ogos – Dana RM1 juta yang diperuntukkan kepada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) akan digunakan sebaiknya bagi memastikan pembangunan silat negara berjalan lancar.

Presiden Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya sangat berbesar hati dengan peruntukan itu dan merakamkan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkannya ketika merasmikan upacara penutup Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19, semalam.

Menurutnya, dana tersebut akan diagihkan kepada 20 badan gabungan Pesaka di seluruh negara dan peruntukan itu juga akan digunakan untuk pengurusan pentadbiran, mengembangkan seni silat di persada dunia.

“Saya terkejut kerana tidak memohon secara rasmi kepada Perdana Menteri tetapi saya fikir biarlah pemimpin sendiri menilai sejauh mana peranan yang boleh dimainkan Pesaka dalam membangunkan silat sebagai aktiviti budaya dan sukan.

“Saya benar-benar terkejut, terima kasih diucapkan kepada Perdana Menteri, jadi kita akan berikan geran bantuan kepada semua badan gabungan.

“Di mana 20 badan gabungan pesaka ini dari Pesaka Labuan hinggalah ke Putrajaya dan empat Badan Berdiri untuk mereka dibantu dalam bentuk pengurusan pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1324
Kongsi :
Previous post Peraturan pemarkahan pencak silat akan dikaji semula – Pesaka
Next post 17 sekolah terima sumbangan komputer riba
Ubah saiz-+=