Dalam rezeki saya, ada rezeki Abang Mail tunai Umrah’- Dr Akmal
MERLIMAU 21 Feb- Penjaga Masjid Ar Rahim, Merlimau, Ismail Anuar, 56, atau lebih dikenali sebagai Abang Mail menjadi insan terpilih ditaja sepenuhnya menunaikan ibadah Umrah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Beliau yang juga EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri memberitahu menjadi niatnya untuk memberi hadiah istimewa kepada anak tempatan (Merlimau) menggunakan gaji pertamanya sebagai wakil rakyat.
Beliau menerima 35 nama dan kesemua ditapis untuk mencari calon yang benar-benar sihat tubuh badan dan tidak mampu menunaikan umrah disebabkan faktor kewangan.
Katanya, setakat ini peruntukan yang ada hanya membolehkan seorang saja ditaja untuk menunaikan umrah dan keputusan dilakukan selepas dipilih kepimpinan masyarakat.
“Abang Mail dipilih kerana dia benar-benar layak, dia tinggal berdua bersama ibunya di rumah, kerjanya pula menjaga dan membersihkan masjid, bentang sejadah, kalau solat fardhu memang dia tak tinggal.
“Masa saya bagitahu pada dia, Abang Mail siap sujud syukur, dia kata hari-hari dia doa pada Allah, dia nak pergi Umrah.
“Tapi Allah nak beri rezeki pada dia melalui saya, dalam rezeki saya ada rezeki Abang Mail. Alhamdulillah, sekarang Abang Mail dah sampai di Madinah, seronok dia, saya turut teruja,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Semalam, Muhamad Akmal berkongsi detik menyentuh perasaan menerusi Facebook (FB) rasminya apabila dia sendiri menghantar Abang Mail ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menunaikan umrah.
Muhamad Akmal turut mengucapkan syukur kerana berjaya menunaikan nazarnya untuk berkongsi rezeki hasil gaji pertamanya sebagai wakil rakyat.
“Terima kasih Allah dan Abang Mail kerana beri saya peluang untuk menunaikan hasrat dan nazar saya untuk mem bawa abang Mail ke umrah menggunakan wang gaji pertama saya sebagai wakil rakyat.
“Sejujurnya rezeki itu milik Allah dan rezeki yang diturunkan pada kita ada sebahagiannya milik orang lain.
“Sebak tak terkata bila Abang Mail beritahu tadi doakan abang balik malaysia, kalau tak balik Malaysia Abang Mail jumpa YB (Yang Berhormat) di sana yer (ya).
“Moga Allah permudahkan segala urusan Abang Mail di sana. Anak kampung untuk orang kampung,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata Abang Mail mempunyai ‘kisah hitam’ kerana pernah terjebak dalam penyalahgunaan dadah.
“Sekarang Abang Mail sudah berubah, penduduk kampung sekarang ini senang dengan kehadiran beliau. Menjadi niat saya untuk taja seorang asnaf seperti Abang Mail untuk tunaikan umrah setiap tahun.
“Realistiknya dengan kemampuan yang ada, memang saya akan taja sepenuhnya, termasuk duit belanja, ‘sponsor A to Z’,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.