‘Dalam rezeki Nor, ada rezeki orang lain’

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

PENGKALAN BATU 18 Mac – “Sebelum ini orang bantu Nor, kali ini Nor pula mahu bantu mereka yang memerlukan,” kata Nor Komariah Mohd Khalid lourdes Lio, 40 atau lebih dikenali sebagai Dak Nor di platform media sosial.

Meskipun dikategorikan sebagai asnaf, Nor tampil menyumbang RM2,000 kepada adik Nur Khayla Azzahra Mohamed Khairul Idhham, 19 bulan, yang menderita penyakit kegagalan fungsi hati atau Biliary Atresia (BA).

Nor yang kini menjadi sensasi di platform TikTok memaklumkan, sumbangan itu dikumpul hasil komisennya yang bergelar ejen jualan produk, selain menjalankan perniagaan secara dalam talian sejak dua bulan lalu.

Dak Nor berkata, dia berasa terpanggil untuk menyalurkan sumbangan itu selepas melihat video penderitaan bayi perempuan itu yang memerlukan kos yang tinggi untuk menjalani pembedahan pemindahan hati.

“Nor anggap sumbangan kecil ini sebagai amanah Allah SWT kerana Nor percaya dalam rezeki setiap jualan Nor ada rezeki orang lain yang memerlukan.

“Nor tergerak hati selepas melihat video penderitaan adik Khayla yang memerlukan RM250,000 untuk kos pembedahan kerana adik Khayla masih kecil, Nor tak sampai hati,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan berkenaan kepada ibu adik Nur Khayla, Noreen Ismail di kediaman mentuanya, di Bukit Baru, di sini, hari ini.

Penyampaian sumbangan tersebut turut disaksikan Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Nor yang juga merupakan pesakit mental menyatakan niatnya membantu insan memerlukan bagi mengenang jasa orang ramai yang membantunya untuk kembali sihat dan berdiri di atas kaki sendiri untuk mencari rezeki.

Jelasnya, Mohd Noor Helmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong antara insan yang banyak membantu dan memberi galakan untuk berubah menjadi lebih baik dan sering mengingatkannya untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Dulu waktu Nor susah, ramai yang bantu, sekarang giliran Nor pula bantu orang, Insya-Allah selepas ini setiap komisen hasil jualan produk Nur akan kumpul untuk bantu orang lain juga,” katanya.

Sementara itu, Noreen mengakui sebak apabila mengetahui Nor yang kisahnya pernah tular di TikTok mahu menyalurkan sumbangan untuk meringankan beban kos pembedahan anaknya.

“Saya memang tersentuh kerana dalam keadaan Nor begitu pun dia sanggup mengeluarkan duit untuk bantu Khayla. Syukur kerana Allah hadirkan manusia-manusia baik hati untuk bantu anak saya,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5324
Kongsi :
Previous post JAIM ambil inisiatif kurangkan kadar penceraian
Next post Perubahan ‘Dak Nor’ semakin positif – Adun Duyong
Ubah saiz-+=