Dakwaan rogol: Pembelaan Paul Yong tutup kes selepas panggil tiga saksi
IPOH, 31 Mac – Pihak pembelaan dalam kes rogol melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong, hari ini menutup kes mereka selepas selesai memanggil kesemua tiga saksi.
Peguam Datuk Rajpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan, memaklumkan perkara tersebut kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Mohamed bahawa pihaknya menutup kes itu selepas saksi ketiga, bapa saudara kepada pembantu rumah Indonesia yang mendakwa menjadi mangsa rogol, selesai memberikan keterangan.
Hakim kemudian memerintahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan bertulis sebelum atau pada 25 April, dan memfailkan jawapan balas pada 9 Mei selain menetapkan 17 Mei untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan.
Sebelum ini pada 16 Mac, pasukan pembelaan memanggil dua orang saksi termasuk Chooo Kiong dan isterinya, Too Choon Looi, 46.
Dalam prosiding hari ini, saksi terakhir iaitu bapa saudara kepada pembantu rumah warga Indonesia tersebut memberitahu mahkamah menggunakan jurubahasa, bahawa mangsa pernah menyebut ‘ada orang jahat’ dan ingin pulang ke negara asal.
Muhammad Rusdi, 51, dari Sumbawa, Indonesia berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya dan juga ibu mangsa, hanya dikenali sebagai Tina, dalam satu pertemuan di Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur pada 19 Sept 2019 lalu.
“Masa jumpa, dia cuma cakap mahu pulang sambil menangis dan memeluk ibunya. Dia mahu pulang kerana ada orang jahat,” katanya sewaktu disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fitri Sadarudin.
Ditanya Mohd Fitri sama ada mangsa merujuk ‘orang jahat’ itu kepada majikannya, Muhamad tidak bersetuju.
Muhammad turut memaklumkan pada satu-satunya pertemuan antara mereka bertiga itu, mangsa cuba memberitahu satu rahsia namun tidak berbuat demikian, kerana diarah keluar dari hostel kedutaan.
Saksi itu juga tidak setuju dengan cadangan Mohd Fitri, bahawa rahsia itu merujuk kepada hasrat wanita tersebut yang mahu memberitahu dia telah dirogol oleh majikannya.
Muhammad selepas itu bersetuju dengan cadangan Mohd Fitri bahawa memandangkan laporan polis dibuat ibu mangsa selepas pertemuan tersebut, seharusnya dia yang hadir memberikan keterangan namun tidak dapat berbuat demikian kerana uzur (sakit) di Indonesia.
Ketika disoal balas oleh Rajpal Singh sama ada mangsa memaklumkan siapa ‘orang jahat’ yang dimaksudkan, Muhammad menjawab: “Tidak bilang (dimaklumkan). Saya tidak tahu siapa orang itu.”
Yong, 52, didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019, mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah Tinggi sebelum ini, memerintahkan Yong membela diri selepas memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.