DAKEN pacu industri seni budaya negara

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 19 Mei – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melancarkan Siri Jerayawara Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Melaka hari ini.

Siri Jerayawara di Melaka itu merupakan siri ke-10 sejak ia mula menjelajah ke seluruh negara selepas dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dan bagi zon selatan siri jelajah akan ke Johor selepas Melaka.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Santhara J.P berkata DAKEN merupakan sebuah dokumen holistik yang bakal dijadikan panduan dan rujukan dalam merencana pembangunan seni, warisan dan budaya negara.

Katanya, inisiatif tersebut seiring menjadikan sektor itu sebagai pemangkin sosio-ekonomi Keluarga Malaysia.

“DAKEN 2021 menggariskan wawasan menuju Malaysia Negara Maju Rakyat Berbudaya. Dan ia berlandaskan lima prinsip Keluarga Malaysia merangkumi keterangkuman, kebersamaan, semangat kebanggaan, keterbukaan dan menyeluruh.

“Sebanyak tujuh teras digariskan di bawah DAKEN ini berkaitan pelaksanaan seni, budaya dan warisan iaitu; Budaya Nilai Tinggi; Keharmonian Masyarakat, Pemeliharaan dan Pemuliharaan Warisan Budaya; Pembangunan dan Pengembangan Budaya; Pemerkasaan Budaya dan Penjanaan Ekonomi Kebudayaan serta Kecemerlangan Budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian DAKEN di JKKN Melaka hari ini, yang turut dihadiri Pengarah JKKN Melaka, Azlina Alias.

Turut hadir kira-kira 100 penggiat seni budaya dan pemegang taruh industri Seni Melaka.

Mengulas lanjut, Santhara berkata dasar DAKEN itu juga merupakan kunci kepada perpaduan dan kestabilan negara.

Menurutnya, JKKN di bawah MOTAC akan terus menggembeleng usaha memakmurkan negara dan mementingkan kesejahteraan rakyat menerusi pelestarian seni dan budaya negara.

“Diharap DAKEN ini dapat menyuntik semangat dan motivasi seluruh penggiat industri dalam menyemarakkan kembali Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1223
Kongsi :
Previous post Ladang tutup: Bekalan ayam di Melaka tidak terjejas
Next post Senarai rumah terbuka barisan kerajaan negeri Melaka (Dikemaskini 19 Mei)
Ubah saiz-+=