
DAK NOR KINI WANITA KEBANGGAAN NEGERI MELAKA
DUYONG 9 Mac – Nor Komariah Mohd Khalid lourdes Lio, 41, atau lebih popular dengan panggilan Dak Nor kini boleh dianggap sebagai wanita kebanggaan Negeri Melaka.
Apa tidaknya Dak Nor mengharumkan nama Negeri Melaka apabila dia terpilih sebagai penerima Anugerah Kasih Wanita Cekal yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, apa yang dicapai Dak Nor sekarang adalah hasil daripada keinginan dan keazaman wanita cekal itu sendiri yang mahu keluar daripada kepompong kesusahan.
“Usaha tulang empat keratnya sendiri yang menjadikan Dak Nor yang sekarang, tahniah kerana dipilih sebagai penerima Anugerah Kasih Wanita Cekal. Dak Nor sampai ke tahap ini disebabkan diri dia dan persekitaran, bukan sebab saya.
“Gembira melihat perubahan positif dirinya sekarang, saya boleh katakan Dak Nor ini antara contoh daripada hidup dalam kelompok fakir dan kini telah meningkat kearah golongan miskin.
“Namun saya masih belum membenarkan lagi dia keluar dari kepompong itu kerana dunia (TikTok) membuatkan dia terkenal ini bersifat sementara. Kerja sekarang belum tetap dan kesihatan masih perlu dipantau,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Japerun Duyong, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, masyarakat sekeliling juga banyak memainkan peranan dalam membantu perubahan Dak Nor.
“Masyarakat tidak mengasingkan atau memulaukan Dak Nor pada saat dia mahu berubah, bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, saya beri bantuan yang semampunya, apa yang boleh kita tolong, kita akan tolong.
“Anugerah diterima oleh Dak Nor ini menjadikan dia satu contoh kepada asnaf atau fakir miskin yang lain untuk berusaha keluar dari kepompong kesusahan,”katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.