Sorting by

×

Dahulu pensyarah, kini pengetua akademi al-Quran

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 27 Disember – Bermula dengan hanya 16 orang sahaja, kini selepas empat tahun beroperasi, Akademi Al-Quran AyahBonda di Taman Tasik Utama, di sini, lebih 100 peserta yang mengikuti kelas mengaji di premis terbabit.

Pengetuanya yang juga pengasas, Dr Azizah Shaaban, 63, berkata, akademi itu ditubuhkan bagi membantu individu membaca al-Quran dengan betul, selain menambah ilmu berkaitan al-Quran.

Katanya, akademi yang beroperasi sejak November 2018 itu bukan hanya terbuka kepada individu dewasa malah turut menerima golongan kanak-kanak yang berhasrat untuk memperbaiki serta membaca al-Quran dengan sebutan dan tajwid yang tepat.

“Kalau boleh saya mahu semua orang (umat Islam) boleh baca al-Quran ini dengan baik. Semua orang boleh membacanya tetapi ia perlu dibaca mengikut tajwid dan makhraj yang betul.

“Saya ini hanya menjalankan sedikit tanggungjawab yang diberikan oleh Allah. Jadi menerusi akademi ini orang ramai boleh belajar dan mendapat ilmu yang sewajarnya,” katanya ketika ditemui di akademinya di Taman Tasik Utama, di sini.

Berkongsi tercetusnya idea untuk membuka akademi mengaji itu, bekas pensyarah itu berkata, tidak mahu masa pencennya dihabiskan dengan ‘urusan dunia’ dia berpendapat adalah lebih baik untuknya mendalami ilmu agama.

“Semuanya bermula setahun sebelum pencen, ketika itu saya fikir takkan nak duduk rumah diam-diam atau pergi melancong luar negara, perlu lakukan sesuatu yang berguna.

“Saya mohon pertolongan dan mengadu kepada Allah S.W.T untuk diberikan petunjuk, akhirnya diberikan jalan ini. Pada waktu itu juga lot kedai ini kosong dan adik tawarkan kepada saya untuk lakukan sesuatu,” katanya.

Ujarnya, sudah pasti pada awalnya agak sedikit mencabar apabila kurang mendapat sambutan namun dengan bantuan tenaga pengajar iaitu Ustaz Rasul Lazim dan rakan, akhirnya kewujudan Akademi AyahBonda sampai ke pengetahuan ramai.

“Syukur saya mendapat sokongan daripada peserta mengaji yang kebanyakkan suri rumah dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sambutan lagi luar biasa apabila sesi pembelajaran dalam talian turut disertai bukan sahaja orang Melaka malah dari Perlis, Selangor dan Kedah.

“Mungkin berbeza dari tempat lain, di sini kita aturkan masa mereka dengan kesesuaian yang bermula dari jam 8.30 pagi malah yuran yang dikenakan hanya antara RM30 hingga RM70 sahaja sebulan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2551
Kongsi :
Previous post Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 kepada majikan kurang lima pekerja ditangguhkan Julai 2023
Next post Jalan ke Jeti Nelayan Tebing Urut berwajah baharu
Ubah saiz-+=