“Dah tak fikir raya, doakan kami selamat dari COVID-19” – Penduduk

Masa Membaca:2 Minit, 32 Saat

SUNGAI RAMBAI 7 Mei – “Emak dah tak fikir raya, sebaliknya meminta saya dan suami mendoakan keselamatan keluarga seluruh seluruh penduduk kampung yang masih tinggal kerana kebanyakannya adalah warga emas.

“Keadaan kampung pun sekarang sangat sunyi walaupun kebiasaannya meriah dengan pelita dan gotong royong dan memasak menjelang Aidilfitri minggu depan,” kata Zahidah Suboh, 38.

Pembantu pra sekolah itu berkata demikian ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) menceritakan nasib menimpa ibu bapanya Suboh Baharom, 70 dan Tijah Kupah, 60, dan dua adik beradiknya yang lain di Kampung Permatang Tulang, Sebatu, Jasin di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini sehingga 20 Mei ini.

KEADAAN Jalan Laidin yang menjadi jalan utama penduduk Kampung Permatang Tulang, Sebatu, Jasin yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula hari ini sehingga 20 Mei ini.

Dia yang menetap di Tangkak berkata, kesedihan bertambah apabila mengenangkan nasib lebih 20 saudara maranya yang lain yang didapati positif COVID-19 sejak April lalu dan kini dirawat di Hospital Melaka selain di bawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) MAEPS, Serdang.

Menurutnya, pengalaman itu turut dirasainya sendiri yang melihat depan mata bagaimana setiap hari saudara mara dan penduduk kampung berkenaan di ‘angkut’ menaiki ambulans hospital sejak hujung April lalu.

“Kes pertama berlaku 29 April lalu apabila jiran sebelah rumah didapati positif virus berkenaan sebelum ianya merebak kepada jemaah surau di Kampung Permatang Tulang.

“Sejak hari itu, hampir setiap hari akan ada ambulans keluar masuk kampung membawa penduduk yang disyaki terkena jangkitan untuk menjalani ujian calitan sehinggalah angka positif COVID-19  terus meningkat termasuk dalam kalangan lebih 20 saudara mara yang dijangkiti,” katanya menahan sebak.

 

KEADAAN Jalan Ibrahim yang menjadi jalan utama penduduk Kampung Permatang Tulang, Sebatu, Jasin yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula hari ini sehingga 20 Mei ini.

Zahidah berkata, dia bagaimanapun bersyukur apabila kedua-dua orang tuanya tidak mempunyai kontak rapat dengan saudara mara yang positif dan terus berdoa akan mereka dan penduduk kampung terselamat dari pandemik itu.

“Sebab itu bila Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sahaja PKPD di kampung kami selama 14 hari bermula 7 Mei, saya sangat bersyukur.

Syukur kerana hanya dengan PKPD sahajalah dapat mengawal penularan jangkitan COVID-19 daripada terus merebak dan merisikokan nyawa penduduk kampung yang kebanyakannya sudah tua dan sakit.

KAMPUNG Permatang Tulang, Sebatu, Jasin menjadi kawasan komuniti pertama di Melaka dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19. Foto: MR. Azli

“Walaupun emak dan ayah terpaksa berkurung dan tiada lagi hidangan lemang, kari udang serta daging di pagi raya, saya reda asalkan mereka selamat dari COVID-19.

“Saya sudah tidak sanggup lagi saban hari mendapat panggilan daripada emak memaklumkan ada lagi ambulans masuk ke kampung membawa seorang demi seorang penduduk ke hospital,” katanya mengesat air mata.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1349
Kongsi :
Previous post Pegawai, anggota polis ditegah buat pemeriksaan rambang ke atas warga asing-KPN
Next post Polis PD rekod penipuan pinjaman berjumlah lebih RM80,000 bulan lalu
Ubah saiz-+=