‘Dah boleh cuti, harap ramailah pelanggan’
AYER KEROH 23 Jan. – “Terima kasih kepada kerajaan negeri yang sanggup beri pelepasan cuti untuk menyambut perayaan Thaipusam yang secara tidak langsung dapatlah saya rezeki lebih sikit apabila ramai datang ke kedai,” kata peniaga A.Eiumaai, 70.
Menurutnya, sebelum ini terdapat kekangan untuk orang bekerja meraikan Thaipusam dan dijangka bertambah buruk ketika waktu dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ketika ini.
“Tapi bila kerajaan beri penjawat awam cuti, legalah sikit boleh beri mereka sedikit keceriaan datang ke sini.
“Bertambahlah sikit pelanggan datang kedai untuk beli barang sembahyang, pisang atau bunga,” katanya yang menetap di Taman Seri Duyong.
Bagi M. Magendren, 22, perayaan kali ini disambut ala kadar memandangkan bapanya baharu meninggal dunia.
“Saya adik beradik ada enam orang, kali ni kami buat upacara sembahyang saja lepas tu duduk di rumah.
“Persiapan pada waktu PKP 2.0 ini pun biasa sahaja kerana bapa baru meninggal dunia jadi tak boleh sambut perayaan sangat,” katanya.
Manakala, K.Pavani, 47 pula berkata, sebelum ini dia bersama keluarga meraikan Thaipusam di negeri lain, namun berbeza pula pada PKP 2.0 kali ini.
“Thaipusam tahun ini walaupun tak berapa meriah, dapatlah raya bersama keluarga.
“Macamana pun kita kena ikutlah prosedur operasi standard (SOP) walaupun di Melaka perayaan Thaipusam kecil sahaja kerana tidak diwartakan sebagai cuti umum berbanding Kuala Lumpur.
“Jadi persiapan pun ala kadar, lepas sembahyang duduk rumah dengan keluarga,” katanya yang menetap di Jalan Bendahara.
Thaipusam adalah upacara utama Hindu yang diadakan setiap tahun dan ia diwartakan sebagai cuti umum mengikut negeri iaitu Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Putrajaya dan Selangor.
Bagaimanapun Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali baru-baru ini berkata beliau tidak menghalang mana-mana kakitangan awam beragama Hindu untuk mengambil cuti bagi menyambut Hari Thaipusam pada 28 Januari ini biarpun tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Beliau dipetik berkata, amat serius dalam soal memelihara identiti dan budaya setiap masyarakat berbilang bangsa dan tidak menghalang kira-kira 100 kakitangan awam yang memohon cuti Thaipusam daripada ketua jabatan masing-masing.