Sorting by

×

Dah beri peluang berniaga, buat kotor pula: MPHTJ

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

BUKIT KATIL 7 Feb. – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) kesal dengan sikap segelintir peniaga yang mengambil mudah aspek kebersihan selepas diberi peluang bebas berniaga sepanjang tempoh pandemik COVID-19 di negeri ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Shadan Othman berkata, hasil operasi pemantauan Jabatan Penguatkuasaan MPHTJ baru-baru ini mendapati ada penjaja di Hang Tuah Jaya bukan sahaja tidak menjaga kebersihan, malah meninggalkan barang-barang niaga di dalam longkang yang dikhuatiri boleh menjejaskan saliran.

Sehubungan itu, pihaknya sudah mengeluarkan notis amaran sebagai peringatan kepada penjaja terbabit, namun ada yang terpaksa disita apabila notis yang diberi tidak diendahkan.

BARANGAN niaga dan sampah yang ditinggalkan di dalam longkang oleh peniaga di sekitar kawasan Bukit Katil hasil operasi pemantauan Jabatan Penguatkuasaan MPHTJ.

“Buat masa ini kebanyakan penjaja diberikan notis amaran, namun ada sebilangan kecil yang barang-barangnya terpaksa disita apabila didapati masih gagal mematuhi syarat ditetapkan.

“Justeru, saya ingin merayu kepada semua penjaja atau peniaga agar tidak mengambil mudah kebebasan berniaga yang kita berikan.

“Banyak kali saya tekankan bahawa peniaga perlulah mengikut syarat yang ditetapkan terutamanya dalam aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata pihaknya akan terus menjalankan operasi pemantauan dan rondaan berkala bagi memastikan tiada lagi peniaga melakukan kesalahan berulang.

Views:

982
Kongsi :
Previous post Kluster Industri Serkam tidak jejas bekalan ayam mentah
Next post Krisis Myanmar: 200 rakyat Malaysia terkandas di tengah lautan
Ubah saiz-+=