Daging segar hanya RM30 sekilogram

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

RIM 2 Dis – Bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan ekoran kenaikan harga barangan, Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd (PPMSB) menawarkan harga jualan daging lembu segar serendah RM30 sekilogram.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhammad Muhaimin Lau Abdullah berkata, inisiatif itu dijalankan pihaknya menerusi Program #segardariladang sejak dua bulan lalu khusus untuk penduduk negeri ini.

“Seperti sedia maklum kebelakangan ini harga barang merekodkan peningkatan dan sekali gus agak membebankan rakyat jadi kami PPMSB tampil meringankan beban.

“Mengikut harga pasaran bagi sekilogram daging antara RM36 hingga RM42 tetapi kami tawarkan hanya RM30 sahaja. Mereka yang berminat perlu terlebih dahulu membuat tempahan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurut beliau, daging lembu yang siap diproses kemudian akan dihantar kepada pembeli mengikut kawasan tanpa ada sebarang kos tambahan.

Mengulas lanjut, Muhammad Muhaimin berkata, PPMSB juga kini sedang mengusahakan telur puyuh ‘Giant Egg’ Baka France kerana mendapat permintaan tinggi.

MUHAMMAD Muhaimin Lau menunjukkan telur puyuh biasa dan Giant Egg

“Purata telur yang diperoleh kini antara 400 hingga 500 biji sehari dan ia masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan.

“Kita jangkakan akan menambah 1,000 ekor lagi anak puyuh dalam masa terdekat selain akan memperkenalkan produk sejuk beku burung puyuh,” katanya.

Sementara itu mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga September lalu PPMSB berjaya memperoleh keuntungan bersih berjumlah RM2.56 juta berbanding hanya RM461,857 untuk tempoh sama tahun lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1144
Kongsi :
Previous post Pengawal keselamatan jadi bidan terjun sambut kelahiran bayi di sekolah
Next post Mazlan dahului terima darjah, pingat polis daripada Agong
Ubah saiz-+=