Daftar vaksin anak 12-17 tahun secara sukarela di MySejahtera
LENDU 19 Sept. – Ibu bapa yang mempunyai anak berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini diseru mendaftar anak-anak mereka menerima vaksin secara sukarela melalui aplikasi MySejahtera.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, langkah itu penting dalam memastikan program vaksinasi remaja 12 hingga 17 tahun yang diumumkan kerajaan sebelum ini dapat berjalan lancar.
Bagaimanapun, Sulaiman berkata, sehingga kini tiada tarikh tertentu dimaklumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk program berkenaan dimulakan di negeri ini.
Namun, pihaknya akan cuba mencadangkan agar anak-anak itu dapat divaksin secara datang terus (walk in) di semua pusat pemberian vaksin (PPV) awam di negeri ini memandangkan bekalan vaksin di negeri ini masih ada.
SULAIMAN (kanan) meluangkan cuti hujung minggu dengan mengedarkan kuih bulan kepada masyarakat Tionghua di sekitar Lendu dan Pekan Masjid Tanah.”Dengan bekalan vaksin yang ada, saya mencadangkan agar anak-anak 12-17 tahun ini diberikan vaksin melalui PPV sedia ada memandangkan sambutan yang kita terima (di setiap PPV untuk individu dewasa 18 tahun ke atas) kurang sambutan.
“Apapun, saya akan meminta Pengarah Pendidikan Melaka untuk berhubung segera dengan KPM mengenai cara terbaik pemberian vaksin kepada golongan remaja.
“Cuma buat masa sekarang, saya minta ibu bapa daftarlah anak-anak secara sukarela di MySejahtera atau jika perlu, berilah maklumat yang diperlukan guru supaya data anak-anak mereka dapat dimasukkan terus ke dalam sistem yang disediakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai vaksinasi pelajar berusia 18 tahun yang bakal menduduki peperiksaan, Sulaiman memaklumkan sehingga kini seramai 78 peratus atau 3,039 daripada keseluruhan 3,891 pelajar telah menerima vaksin dos pertama setakat 18 September.
Daripada jumlah itu, ujarnya, 1,895 atau 48.7 peratus daripada mereka telah lengkap dua dos vaksin.
Bagaimanapun, terdapat 19 pelajar berusia 18 tahun di negeri ini menolak untuk divaksinkan.
“Manakala untuk guru-guru di Melaka pula, sehingga kini 98.7 peratus daripada 13,762 orang telah lengkap menerima vaksin, namun terdapat 42 guru menolak vaksin setakat ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.