Sorting by

×

Daerah Masjid Tanah berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur

Masa Membaca:2 Minit, 40 Saat

MASJID TANAH 2 April – Penubuhan Daerah Masjid Tanah sebagai satu lagi daerah baharu mampu menjadi pemangkin projek berimpak tinggi yang berpotensi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur dalam kawasan pinggir bandar di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali berkata, cadangan pembentukan daerah baharu itu jika diluluskan jemaah menteri akan mempercepatkan setiap perancangan kerajaan negeri bagi pembangunan terancang dalam kawasan terbabit.

Katanya, pelbagai pelan perancangan pembangunan termasuk projek berimpak tinggi sedang dan akan dilaksanakan dalam kawasan itu bagi mengangkat transformasi Masjid Tanah ke arah bandar yang pesat dalam pertumbuhan ekonomi dan sosial yang membawa manfaat buat penduduk di daerah terbabit.

SULAIMAN (tengah) bersama Ab. Rauf (tiga dari kiri) dan Hasim (dua dari kanan) ketika merasmikan Pejabat Operasi Masjid Tanah di Bangunan Tabung Haji.

“Kewujudan daerah Masjid Tanah ini ia mampu menjadi peneraju dan menarik pelbagai pelaburan bagi membangunkan kawasan ini sehinggakan ada projek berimpak tinggi yang kini sedang dan akan dilaksanakan di kawasan Masjid Tanah.

“Antara pembangunan lain yang direncanakan adalah Koridor Perindustrian Pantai Barat, Pembangunan Kawasan Lembah Linggi, Pembangunan Pelancongan Tanjung Tuan serta Projek Lebuh Raya Pesisir Pantai dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang akan melalui kawasan Kuala Linggi – Masjid Tanah.

“Selain itu, Rancangan Fizikal Negara Ketiga (RFN3) telah mengangkat kawasan Kuala Linggi sebagai pusat katalis yang memberi fokus utama dalam aspek terminal maritim dan pusat tarikan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pejabat Operasi Masjid Tanah di Bangunan Tabung Haji, di sini, hari ini.

SULAIMAN beramah mesra dengan kakitangan di kaunter perkhidmatan Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah (Cawangan Masjid Tanah) sambil diperhatikan Ab Rauf (kiri) dan Hasim (kanan).

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Hasim Hasan.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, Pejabat Operasi Masjid Tanah yang dirasmikan itu penting dalam usaha memastikan perkhidmatan yang lebih baik dan efisien dapat disampaikan terus kepada 215,000 penduduk daerah itu.

Katanya, ia sekali gus berpotensi bagi menarik pelanggan dan menjadi medan keyakinan sektor pelaburan dari dalam dan luar negeri untuk mengembangkan kawasan itu agar dimajukan dengan pelbagai bidang lain terutama pelancongan, perindustrian, pertanian dan pelabuhan yang membawa pulangan kepada impak sosial.

“Pembentukan Daerah Masjid Tanah adalah untuk memastikan perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap, mempercepat pelaksanaan projek yang dirancang terutama projek mega yang akan dibangunkan di kawasan ini.

“Malah, pembentukan ini juga mampu memberi fokus kepada pelbagai peruntukan projek kecil melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar pembangunan daerah ini mampu dibangunkan dengan seimbang selari dengan pembangunan lain di negeri ini.

“Apa yang penting juga penubuhan daerah ini mampu merancakkan pembangunan kawasan bersempadan antara Negeri Melaka dan Negeri Sembilan melalui Kuala Linggi dan Port Dickson,” katanya.

Ujar Sulaiman, setakat ini persempadanan antara kawasan dalam daerah itu telah ditentukan mengikut pecahan dalam Parlimen Masjid Tanah bagi memudahkan pengurusan pentadbiran dalam daerah baharu tersebut.

“Keseluruhan kawasan ini merekodkan seluas 32,620 hektar dengan pecahan lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Lendu, DUN Kuala Linggi, DUN Ayer Limau, DUN Tanjung Bidara dan DUN Taboh Naning,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1652
Kongsi :
Previous post KKM teliti data teknikal, klinikal sebelum benar individu lengkap terima vaksin rentas negeri
Next post Jurugambar didenda RM15,000 hina agama Hindu
Ubah saiz-+=