Dadah RM300,000 ditinggal di Pulau Konet

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KUALA LINGGI 26 Ogos – Sejumlah kira-kira enam kilogram (kg) dadah dipercayai syabu bernilai RM300,000 ditemukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka/Negeri Sembilan, di Pulau Konet, Telok Gong, awal pagi semalam.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, rampasan itu dibuat pasukannya kira-kira jam 3.20 pagi semalam selepas mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan berhampiran Pulau Konet.

“Ketika melakukan rondaan rutin, anggota penguatkuasa mengesan sebuah bot dalam keadaan curiga menuju ke arah pantai Pulau Konet sebelum bertindak memecut laju sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Dengan keadaan cuaca gelap dan air semakin surut, anggota bot Maritm telah meminta bantuan pasukan operasi darat ke lokasi kejadian dan menjumpai bungkusan hitam.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menjumpai enam bungkusan mampat teh cina berisi hablur kristal dipercayai dadah jenis syabu dianggarkan kira-kira enam kg,” katanya.

Menurutnya, kesemua barangan rampasan itu kemudian dibawa balik ke Pejabat Maritim Melaka/Negeri Sembilan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut akan dijalankan berhubung penemuan barang terlarang itu selain Maritim Malaysia amat peka dan serius melaksanakan dalam penguatkuasaan undang-undang agar perairan negara selamat dari sebarang aktiviti yang menggugat kedaulatan negara.

“Justeru itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat salah laku di laut, diminta laporkan segera ke Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau talian kecemasan NG999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

205
Kongsi :
Previous post Tanggungjawab lebih besar menanti – Datuk Rosli
Next post SPRM tahan lima termasuk dua beradik seleweng diesel subsidi nelayan
Ubah saiz-+=