Sorting by

×

Cuti umum 20 Februari, SPM berjalan seperti biasa

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER MOLEK 15 Disember – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang jatuh pada hari cuti umum 20 Februari 2024 sempena Hari Pengisytiharan Kemerdekaan tidak akan ditangguhkan dan diteruskan seperti yang dijadualkan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata seramai 4,528 calon daripada 84 buah sekolah di bawah Kementerian Pendidian Malaysia (KPM) di Melaka bakal menduduki empat kertas peperiksaan yang dijadualkan berlangsung pada hari tersebut.

Katanya, empat kertas peperiksaan tersebut adalah Manahij al-Ulum al Islamiah, Pendidikan Seni Visual Kertas 2, Pendidikan Muzik Kertas 1 dan Reka Cipta Kertas 1.

“Cuti umum pada 20 Februari tahun hadapan baharu sahaja diisytiharkan sebagai Hari Pengisytiharan Kemerdekaan bagi menggantikan cuti umum Melaka Bandaraya Bersejarah, jadi pada tarikh tersebut peperiksaan SPM sedang berjalan.

“Jadi untuk makluman semua calon SPM dan ibu bapa serta orang ramai, kita tidak menangguhkan peperiksaan pada hari tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Taklimat Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) 2024 dan Taklimat Inden Kerja RMR bagi Peruntukan Tambahan 2023 di Japerun Ayer Molek, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata pada hari berkenaan seramai 335 guru petugas peperiksaan juga akan meneruskan tugas seperti biasa.

“Kita tidak perlu menangguhkan peperiksaan walaupun cuti umum kerana ia mengambil kira pelbagai faktor termasuk menunda tarikh baharu serta membuat kertas peperiksaan baharu sekiranya ia dilakukan,” katanya.

Untuk rekod, peperiksaan SPM 2023 secara bertulis dijadualkan bermula pada 30 Januari hingga 7 Mac 2024, dengan membabitkan 12,900 calon sekolah KPM, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah swasta dan calon persendirian bagi seluruh Negeri Melaka.

Manakala, seramai 1,255 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1993
Kongsi :
Previous post Larian, kayuhan 100 tahun MAFA promosi budaya kitar semula
Next post DUN Asahan perkasa tuisyen rakyat
Ubah saiz-+=