Cuti sekolah: Eco-Cruise Sungai Linggi tawar diskaun 30 peratus
AYER LIMAU 24 Mei – Eco-Cruise Sungai Linggi menawarkan diskaun sehingga 30 peratus kepada pengunjung sempena cuti persekolahan bermula esok sehingga 2 Jun depan.
Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan dan Kewangan yang menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Khairunnisa Ibno Masooda berkata, ia merupakan antara tarikan yang disedia sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Jelasnya, diskaun yang ditawarkan sejak 17 Mei lalu itu boleh didapati secara dalam talian atau di kaunter yang disediakan di Pusat Ekopelancongan Paya Lebar.
Menurut beliau, dengan tawarab diskaun itu, pengunjung berpeluang menelusuri keindahan panorama Sungai Linggi pada harga serendah RM28 untuk kanak-kanak dan RM38.50 untuk dewasa.
“Promosi yang dijalankan selama tiga minggu ini khusus buat pengunjung menikmati keindahan semula jadi yang ditawarkan sepanjang menelusuri Sungai Paya Lebar hingga ke Sungai Linggi.
“Pengunjung juga akan dibawa ke tiga lokasi persinggahan antaranya ke Restoran Terapung Sungai Linggi yang wajib dikunjungi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Khairunnisa berkata, pihak PPSPM menyediakan dua bot yang akan beroperasi mengikut permintaan.
Jelasnya lagi, pergerakan bot tersebut perlu bergantung kepada keadaan pasang surut air, namun ia tidak menghalang perjalanan untuk pengunjung menikmati keindahan flora di sepanjang sungai tersebut.
“Kita menyasarkan kira-kira 400 pengunjung akan menaiki Eco-Cruise Sungai Linggi ini untuk tiga minggu tempoh promosi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.