Cuti anggota JPJ seluruh negara dibeku sehingga 8 Feb
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli berkata ia bertujuan memastikan operasi ini dapat diberikan tumpuan sepenuhnya selain membolehkan kelancaran pergerakan perjalanan pengguna jalan raya dengan lebih selamat.
“Semua anggota penguat kuasa JPJ di seluruh negara termasuk 118 anggota di Negeri Sembilan digerakkan dalam operasi itu susulan aliran trafik dijangka meningkat lebih daripada 100 peratus.
“Ini kerana orang ramai dibenarkan pulang ke kampung pada tahun ini sekali gus pergerakan kereta bertambah di jalan raya dan lebuh raya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op TBC 2022 Peringkat Negeri Sembilan yang turut dihadiri Pengarah JPJ Hanif Yusabra Yusuf di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata JPJ turut melaksanakan Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan yang akan berkuat kuasa dua hari sebelum (30 dan 31 Jan) dan dua hari selepas perayaan TBC (3 dan 4 Feb).
Aedy Fadly berkata larangan itu bertujuan untuk mengelakkan risiko berlakunya sebarang nahas jalan raya akibat pertambahan aliran trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan selain mengelakkan kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh perayaan ini.
“Kita menyeru semua pengguna jalan raya di seluruh negara agar memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan,” katanya.
Terdahulu, Hanif Yusabra ketika berucap berkata JPJ negeri telah memeriksa sebanyak 20,627 motosikal sepanjang tahun lepas dan daripada jumlah itu sebanyak 4,189 penunggang motosikal dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.
“Kesalahan itu melibatkan pelesenan pemandu sebanyak 3,367 kes, pelesenan kenderaan (3,376), teknikal (1,197), utama (905) dan lain-lain kesalahan sebanyak 402 kes,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.