
CURI MOTOSIKAL UNTUK BELI DADAH, TIGA SEKAWAN DICEKUP
BEMBAN 12 April – Hajat tiga sekawan untuk membeli dadah selepas mencuri sebuah motosikal Yamaha 125ZR tidak kesampaian apabila kesemua mereka dicekup polis.
Ketiga-tiga suspek iaitu lelaki berusia 30-an ditahan di tiga lokasi berasingan selepas pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan motosikal berkenaan yang diletakkan di perkarangan parkir Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel, pada 7 April lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, suspek pertama ditahan pada hari yang sama selepas laporan di Jalan Bemban Tehel dan telah merampas motosikal berkenaan berserta anak kunci.
Hasil soal siasat lanjut, jelasnya, dua lagi rakan sepenjenayahnya telah ditahan di Taman Seri Duyong dan PPR Tehel, kelmarin.
“Hasil saringan air kencing ketiga-tiga suspek yang merupakan pekerja kilang, pemandu lori dan penganggur telan dijalankan dan kesemua mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Semakan rekod lampau juga mendapati suspek pertama memiliki enam rekod jenayah dan 17 rekod narkotik, sementara suspek kedua dengan 11 rekod jenayah dan empat rekod narkotik dan suspek ketiga memiliki dua rekod jenayah dan lima rekod narkotik.
“Kesemua mereka juga mengaku mencuri motosikal berkenaan bagi mendapatkan bekalan dadah,” katanya.
Susulan itu, beliau berkata, ketiga-tiga suspek kini direman sehingga 14 April dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa memastikan motosikal ditinggalkan di tempat yang selamat dan sentiasa berkunci sekiranya diletakkan di tempat awam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.