Sorting by

×

CUMA 20 PERATUS PEGAWAI, ANGGOTA BOMBA MELAKA DIBENARKAN CUTI RAYA

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

JASIN 10 Mac – Hanya 20 peratus daripada keseluruhan 496 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dibenarkan bercuti pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Mohd Pisar Aziz berkata, langkah itu bertujuan untuk memastikan jumlah pegawai dan anggota adalah mencukupi bagi menghadapi sebarang kecemasan atau bencana luar jangka.

“Selain itu kami juga mahu operasi setiap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini berjalan lancar. Sudah menjadi kebiasaan setiap tahun cuma sekitar 20 peratus daripada kekuatan keseluruhan JBPM Melaka dibenarkan bercuti.

“Secara harian pula seramai 120 pegawai dan anggota bertugas, mereka ini yang terlibat dalam operasi menyelamat ketika bencana atau kecemasan termasuk kes kemalangan jalan raya,” katanya ketika ditemui selepas Program Ihya Ramadan 1446H Bersama Tuan Yang Terutama (TYT), Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di BBP Jasin Bestari, di sini, semalam.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan lklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Timbalannya, Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Mufti Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Pada majlis sama turut berlangsung penyampaian sumbangan Bakul Ramadan kepada 40 penerima yang disempurnakan Tun Dr. Mohd Ali.

Menurut Mohd Pisar, selain sumber manusia JBPM juga sentiasa memastikan jentera, peralatan dan keperluan logistik lain setiasa dalam keadaan baik dan boleh digerakkan pada bila-bila masa sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Semoga kita dijauhkan daripada perkara tidak diingini memandangkan cuti musim perayaan kali ini agak panjang, kami sentiasa bersedia menghadapi sebarang kes kecemasan bukan sahaja membabitkan kebakaran tetapi juga kemalangan, banjir dan lemas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post REZEKI ORANG DUYONG KIAN MELIMPAH
Next post TAK MAHU BELI BAJU RAYA, PETANDA AISAR AZIM AKAN PERGI SELAMANYA – KELUARGA