Cukuplah sekadar ucapan ‘Terima Kasih Cikgu’

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

Klebang 1 Jun – Ucapan ikhlas ‘terima kasih cikgu’ daripada bekas anak murid yang berjaya ke menara gading sudah cukup membuatkan Omar Mohd Dam, 75, sebak.

Penerima Anugerah Tokoh Guru itu berkata, ucapan istimewa itu sudah memadai untuk menghargai jasanya dalam mendidik anak bangsa hingga menjadi manusia yang berjaya.

Dia berkhidmat selama 52 tahun dalam profesion perguruan berkata, seorang pendidik tidak akan kenal erti penat lelah kerana murid adalah keutamaan mereka.

Meskipun bersara pada 2011 Omar masih terus menabur bakti dalam dunia pendidikan dan kini menabur bakti sebagai guru subjek Sejarah di Kolej Yayasan Saad.

“Saya mula mengajar di Terengganu sekitar tahun 1970-an dan bertugas di beberapa negeri lain sebelum bersara di Melaka. Mendapat khabar seorang demi seorang anak murid berjaya ke menara gading termasuk di luar negara adalah hadiah istimewa buat saya.

“Apa yang membuatkan saya terharu dan sebak, mereka tetap menghargai saya dan sering mengucapkan terima kasih cikgu setiap kali bersua,” katanya.

Terdahulu, Omar dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru pada Sambutan Hari Guru Peringkat Melaka Tengah yang disampaikan EXCO Pendidikan negeri, Datuk Rais Yasin.

Penganugerahan itu telah menyaksikan beliau menerima sijil penghargaan, trofi dan wang tunai RM1,500.

Omar turut berkongsi pengalamannya yang pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemeriksa Negara yang diberi tanggungjawab untuk memastikan proses peperiksaan umum berjalan lancar.

“Saya juga pernah dilantik sebagai Ketua Panel Peperiksaan dan ini melibatkan tanggungjawab saya memeriksa subjek soalan peperiksaan umum termasuk peperiksaan ulangan,” katanya.

Sebelum ini, beliau turut menerima beberapa penghargaan seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ketika berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Abdul Rahman Ya’kub dan SMK Munshi Abdullah selain Anugerah Penolong Kanan Cemerlang (SMK Munshi Abdullah).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2943
Kongsi :
Previous post COVID-19 di Makkah terkawal, SOP dilonggarkan
Next post PBSM Melaka kembali laksana kursus kepimpinan
Ubah saiz-+=