Sorting by

×

CUEPACS mohon kerajaan kaji semula elaun anggota bomba

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kepada kerajaan agar mengkaji semula elaun Bayaran Insentif Bomba (BIB) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebanyak RM110 sebulan ketika ini.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata jumlah tersebut tidak setimpal dengan bebanan dan risiko kerja anggota JBPM yang diarahkan bekerja 12 jam tanpa sebarang tuntutan tugasan lebih masa.

Katanya elaun BIB sebanyak RM110 itu bersamaan dengan RM1.10 sejam untuk waktu operasi syif 12 jam dan kali terakhir elaun itu dikaji ialah 14 tahun lepas.

“Elaun BIB yang diterima oleh anggota JBPM adalah RM27.50 pada tahun 90-an, manakala pada tahun 2000 dinaikkan kepada RM90 dan RM110 pada 2007,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya CUEPACS difahamkan, JBPM sendiri sebelum ini telah memohon untuk menaikkan elaun BIB kepada anggota mereka namun sehingga kini belum diputuskan oleh kerajaan.

“Pekerjaan anggota bomba yang turut berada di barisan hadapan negara memerlukan pengorbanan yang besar dan nilai pengorbanan tersebut tidak boleh disamakan dengan wang ringgit, namun perlulah setimpal dengan perkhidmatan terutama mereka yang berkhidmat dalam bahagian operasi dan menyelamat,’’ katanya.

Menurut Adnan peningkatan elaun perkhidmatan itu merupakan inisiatif yang boleh diberikan kerajaan bagi menghargai anggota JBPM, selain memastikan segala peralatan yang diterima agensi itu mematuhi piawaian keselamatan serta diselenggara dengan baik.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan dukacita dengan pemergian seorang anggota bomba yang terkorban akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran kilang di Segamat, Johor. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

674
Kongsi :
Previous post Konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ bendung gejala buli di sekolah
Next post Kutipan hasil kerajaan catat peningkatan 8.9 peratus – PM
Ubah saiz-+=